Undang-Undang Lebih Baik Perlu Gantikan RUU Anti Lompat Yang Tertangguh

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menuntut komitmen kerajaan untuk membentangkan undang-undang anti lompat yang baharu dan lebih kukuh dalam minggu pertama sesi parlimen Julai ini. Untuk mengelakkan penangguhan lanjut, RUU Anti Lompat Pecat Wakil Rakyat (Anti-Hopping Recall Law-AHRL) yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen (MP) Pengerang, Dato’ Seri Azalina Othman Said perlu diangkat di meja perundingan dan diperhalusi segera.

BERSIH kecewa dengan berita terkini di mana Kabinet Persekutuan telah membuat pusingan U untuk membentangkan Undang-Undang Anti Lompat (AHL) yang dijadualkan pada Isnin depan (11 April). Menteri Undang-Undang Datuk Seri Wan Junaidi dilaporkan berkata bahawa sesi khas parlimen akan diteruskan untuk meluluskan pindaan Perlembagaan yang akan memberi laluan kepada pengenalan RUU Anti Lompat pada masa akan datang.

Sementara itu, Wan Junaidi juga berkata RUU Anti Lompat telah dihantar semula untuk kajian lanjut tentang definisi “lompat parti”.

Walaupun kami berpandangan yang undang-undang anti lompat perlu diluluskan tanpa tangguh lagi, BERSIH juga konsisten menyuarakan keraguan kami terhadap bentuk AHL yang sedia ada sekarang sebagaimana yang telah dilaporkan oleh pelbagai media.

Dua kelemahan AHL yang sedia ada adalah, pertama, AHL tidak dapat mencegah lompatan gabungan dan tidak berkesan menghalang ketidakstabilan politik. Kedua, pemimpin parti mungkin akan menyalahgunakan kuasa AHL dengan menyingkirkan wakil rakyat saingan atau suara membantah dalaman parti bagi mengosongkan kerusi mereka.

Dengan penangguhan untuk kajian lanjut AHL, kami menggesa penandatangan MOU, kerajaan Ismail Sabri dan Pakatan Harapan (PH), untuk mengangkat AHRL yang telah dirumuskan oleh BERSIH dan diangkat di peringkat persekutuan oleh Dato’ Seri Azalina Othman Said [1]

Dalam kerangka ini, mana-mana kerusi wakil rakyat boleh dikosongkan atas tiga asas lompat parti yang diliputi oleh AHL iaitu MP meninggalkan atau dibuang oleh parti, MP bebas menyertai parti, malah lompatan gabungan oleh parti yang tidak diliputi oleh AHL, cukup sekiranya pengundi menandatangani petisyen menyokong pemecatan wakil rakyat dalam tempoh 21 hari. Tandatangan ambang yang BERSIH cadangkan adalah 40% atau separuh daripada kadar keluar mengundi dalam pilihan raya terakhir.

Dengan mengembalikan keputusan kepada pengundi, AHRL boleh mengatasi dua kelemahan cadangan AHL yang ada sekarang.

Menyedari perbezaan pandangan oleh parti-parti dan MP dalam kerajaan terhadap AHL atau AHRL, kami menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri untuk membenarkan semua MP kerajaan mengundi berdasarkan nurani mereka apabila RUU sebenar dibentangkan. Kami percaya lebih dua pertiga MP akan menyokong kelulusan sebarang mekanisme anti lompat untuk mengembalikan kewarasan dan kestabilan politik.

Negeri perlu diberikan kebebasan untuk mengkaji dan memilih mekanisme anti lompat mereka yang mungkin berbeza dengan sebarang varian AHL atau AHRL.

Bagi membolehkan AHL peringkat negeri, pindaan Perkara 10 untuk mengatasi keputusan Mahkamah Tinggi 1992 dalam kes Nordin Salleh yang menyatakan AHL adalah tidak berperlembagaan, perkataan “Perlembagaan Negeri” perlu dimasukkan dan akan memberi kesan berikut:

“Sekatan kepada kebebasan berpersatuan sebagaimana diberikan perenggan (c) Klausa (1) berkaitan parti politik boleh dikenakan oleh Perlembagaan ini dan Perlembagaan Negeri.”

BERSIH percaya, apabila AHRL dibentangkan pada Julai, MP atau parti yang enggan menyokong RUU atau merancang untuk menangguhkannya perlu bersedia dengan kemarahan pengundi yang sengsara dengan ketidakstabilan politik dan melihat undi mereka dikhianati oleh pelompat parti.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH

[1] https://www.facebook.com/photo/?fbid=408585040825340&set=pcb.408586997491811