Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti untuk melibatkan dan memaklumkan rakyat dengan maksimum, agar RUU yang terhasil mencapai kehendak rakyat dan sebarang kompromi yang diperlukan akan mendapat sokongan rakyat.
BERSIH menggesa JPK tersebut untuk tidak menghalang penglibatan dan pengetahuan rakyat dengan mengenakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) kepada semua urusannya. Demokrasi di Negara-Negara Demokratik dalam Dunia Komanwel seperti UK, Australia, New Zealand dan Kanada tidak menggunakan undang-undang seperti OSA untuk menghalang deliberasi perundangan, maka mengapa perlu Malaysia?
Sementara minit mesyuarat dalaman boleh dirahsiakan, JPK perlu mengumumkan perkara-perkara berikut:
(a) tarikh dan tempat/platform mesyuarat diadakan;
(b) keputusan-keputusan utama mesyuarat;
(c) perkembangan draf RUU;
(d) hujahan tulisan dan lisan oleh pihak berkepentingan
BERSIH menggesa JPK untuk berani menamatkan ‘budaya berahsia’ dalam pembuatan undang-undang di Malaysia yang merupakan tinggalan kolonial di mana orang ramai tidak boleh dipercaya untuk tahu dan memberikan dapatan mereka terhadap undang-undang yang akan memberikan kesan kepada mereka.
Ia juga menggambarkan keangkuhan elitis bahawa ahli politik dan birokrat lebih tahu, mentaliti kolot yang ketinggalan zaman dalam Abad ke-21 dan bertentangan dengan semangat Keluarga Malaysia.
BERSIH percaya bahawa JPK sudah tentu telah berusaha keras dalam dua minggu ini sejak penubuhannya pada 11 April 2022. Malangnya rakyat langsung tidak dimaklumkan akan perkembangan JPK ini.
Perbahasan parlimen pada 11 April menunjukkan punca ketidaksetujuan dengan RUU Anti Lompat adalah berkenaan sama ada Ahli Parlimen dipecat oleh parti akan turut terpecat daripada Dewan.
Rakyat perlu dimaklumkan berkenaan persoalan mustahak ini dan cadangan penyelesaiannya bagi memastikan RUU Anti Lompat tidak akan tergendala, tidak berkesan atau merosakkan demokrasi berparlimen.
BERSIH mengingatkan JPK bahawa RUU Anti Lompat tidak boleh didraf secara tertutup dan terburu-buru dalam sidang parlimen Jun nanti. Jangkaan rakyat terhadap proses dan kualiti perundangan telah dibangkitkan oleh kedua-dua kelemahan dalam draf yang sedia ada dan langkah pembaikan yang wajar dipuji yang diambil oleh Kerajaan Ismail Sabri dan PH.
Merujuk RUU pindaan perlembagaan kepada JPK selepas perbahasan oleh 59 Ahli Parlimen pada 11 April menunjukkan kebijaksanaan politik yang segar oleh Perdana Menteri Ismail Sabri, Datuk Wan Junaidi selaku Menteri bertanggungjawab terhadap Parlimen dan Undang-Undang serta Jawatankuasa Pemandu MOU.
BERSIH menggalakkan JPK untuk meneruskan kembara berani ini bagi menghasilkan RUU Anti Lompat yang dapat diterima oleh semua parti, dan tidak lagi membenarkan ‘budaya kerahsiaan’ yang lapuk menghalang pembuatan undang-undang yang telus, bertanggungjawab dan berpernyertaan.
RUU Anti Lompat mesti dijayakan dengan kerjasama rentas parti yang matang, dan tidak menjadi kegagalan yang menimbulkan tuduh menuduh antara parti pada PRU15 atau seterusnya.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH
(1) https://www.thestar.com.my/news/nation/2022/04/20/anti-hopping-bill-discussions-findings-presented-to-psc-protected-under-osa-says-wan-junaidi