BERSIH mengucapkan tahniah atas Debat Perdana di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Razak yang dianjur oleh Sinar Harian dan dilancarkan pada 12 Mei 2022. Debat ini dijalankan secara profesional dan kedua-dua pembahas telah menunjukkan satu pembahasan yang cukup berkualiti dan bermatang.
BERSIH ingin menyatakan bahawa debat terbuka, profesional dan matang adalah antara ciri-ciri demokrasi yang harus kita galakkan. Melalui debat secara berbuka, rakyat dapat dimaklumkan tentang ideologi, pendirian atau solusi ahli-ahli politik berkenaan dengan isu atau polisi tertentu. Hal ini dapat menjadikan rakyat lebih prihatin untuk melibatkan diri dalam politik serta membuat keputusan bermaklumat berkenaan dengan isu atau polisi berkaitan masa depan negara.
Perkara ini sangat penting khususnya pada tempoh pilihan raya. Justeru BERSIH bersama dengan Astro Awani, Sinar Harian dan Sin Chew sebelum ini telah melancarkan inisiatif #SuaraUntukSemua di dalam Pilihan Raya Negeri Melaka Sarawak dan Johor. Antara inisiatif yang dilakukan adalah Suara Calon di mana semua calon-calon diberikan ruang media yang saksama untuk memperkenalkan diri kepada pengundi, Siaran Parti Politik untuk parti politik memperkenalkan manifesto parti mereka, di samping membuka gelanggang kepada debat kepada calon-calon ketua menteri atau menteri besar.
BERSIH berpandangan debat secara terbuka adalah satu langkah positif untuk mempromosi dan membudayakan persaingan politik yang lebih sihat dan matang. Kami menggesa agar debat seumpama ini dapat dianjurkan sebelum PRU15 terutamanya oleh media utama kerajaan, media swasta, khususnya debat calon perdana menteri, pemimpin-pemimpin parti politik atau calon bebas, berkenaan dengan manisfesto dan visi parti/calon masing-masing.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH