Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengecam pelantikan Ahli Parlimen (MP) Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman menjadi Duta Besar Malaysia ke Indonesia sebagai satu penghinaan kepada parlimen dan pengundi Pasir Salak, sekiranya beliau tidak meletak jawatan sebagai ahli parlimen sebelum mengambil lantikan itu di Jakarta.
Tajuddin Abdul Rahman yang membuat jenaka kemalangan LRT di bawah pemerhatian beliau sebagai Pengerusi Prasarana telah dilantik menjadi Duta berbanding kerjaya diplomat juga adalah penghinaan kepada perkhidmatan diplomatik.
Dengan bayaran elaun bulanan sebanyak RM16,000 belum termasuk tuntutan dan elaun yang lain, MP perlu dianggap sebagai kerja utama jika tidakpun sebagai kerja sepenuh masa. Seorang MP harus mewakili pengundinya di parlimen untuk membahaskan undang-undang dan polisi serta mengambil berat keperluan pengundi di kawasannya. Bagaimana seseorang dapat menjalankan peranan dan tugas sebagai MP sekiranya mengambil tugas sebagai Duta pula yang memerlukan kehadiran fizikal di luar negara?
Di Amerika Syarikat (AS) apabila ahli politik dilantik sebagai Duta, mereka terlebih dahulu meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.
Amalan buruk melantik MP sebagai Duta dan Duta Khas walaubagaimanapun sebenarnya telah diamalkan di Malaysia sebelum 2018 dan diteruskan oleh kerajaan PH, PN dan BN.
Contoh jelas termasuklah almarhum Jamaluddin Jarjis, MP Rompin yang menjadi Duta ke AS (2009-2012) dan mantan MP Kulai Ong Ka Ting sebagai Duta Khas ke China (2011-13) yang kemudiannya digantikan oleh MP Cheras Tan Kok Wai (2018-2020) dan MP Bintulu sekarang (2020-). Dua MP yang masih mendapat “gaji kedua” sebagai Duta Khas sejak 2020 walaupun hanya duduk di rumah kebanyakan masanya adalah MP Machang Hadi Awang yang dilantik sebagai Duta Khas Timur Tengah dan MP Serian Richard Riot sebagai Duta Khas ke Asia Timur.
Bahkan ada khabar seorang lagi MP, Nazri Abdul Aziz, dikatakan akan menjadi Duta ke AS.
Bagi menamatkan amalan buruk menjadikan pelantikan Duta sebagai naungan (patronage), BERSIH menggesa beberapa tuntutan berikut:
- Perdana Menteri Ismail Sabri perlu menarik semula pelantikan Tajuddin dan menggantikan beliau dengan diplomat yang sebenar demi kepentingan terbaik Malaysia;
- Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa perlu diberikan kuasa untuk meneliti dan mengesahkan pencalonan Pesuruhjaya Tinggi, Duta dan Duta Khas;
- Perkara 48(1)(c) Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda supaya ahli parlimen dilarang daripada memegang jawatan tetap dalam misi luar negara;
- Tajuddin Abdul Rahman perlu segera meletakkan jawatan sebagai MP Pasir Salak, sekiranya pelantikan beliau tidak ditarik semula; (melainkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan dipinda dan pindaan dikuatkuasakan secara retrospektif, Tajuddin akan tidak layak bertanding semula di mana-mana kerusi parlimen selama lima tahun)
- Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk membenarkan pilihan raya kecil diadakan sekiranya kekosongan berlaku dalam enam bulan terakhir – berbanding dua tahun terakhir – dalam penggal Parlimen; (Hal ini akan memastikan kekosongan Tajuddin di Pasir Salak diisi melainkan Parlimen dibubarkan sebelum pilihan raya kecil diadakan)
- Parti untuk memasukkan perkara ini ke dalam manifesto:
(a) Lantikan Duta perlu mengutamakan diplomat dan pencalonannya akan diteliti dan disahkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa;
(b Pindaan Perkara 48(1)(c) untuk menghalang MP memegang lantikan kedutaan; dan,
(c) Pindaan Perkara 48(6) untuk membenarkan pilihan raya kecil sebelum enam bulan terakhir dalam penggal Parlimen.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH