Saman SPR Kerana Nafikan Hak Mengundi

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) telah membantu seorang pengundi untuk memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Malaysia melalui firma guaman AmerBon, kerana menghalang beliau untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum Negeri Johor pada 12 Mac 2022 yang lepas. SPR yang sepatutnya bertanggungjawab memastikan hak pengundian seseorang warganegara terjamin namun sebaliknya telah menghalang pengundi tersebut untuk membuang undi atas alasan COVID-19.

Pengundi yang memfailkan saman ini merupakan pengundi di DUN Skudai dan merupakan pengundi kali pertama. Beliau telah mengambil langkah berjaga-jaga yang sepatutnya seperti membuat ujian saringan kendiri sebelum pergi ke pusat pengundian namun telah dihalang oleh petugas SPR walaupun keputusan ujian tersebut adalah negatif.

Writ saman kepada SPR dan Kerajaan Malaysia yang telah difailkan pada 8 Jun 2022 dibuat di atas beberapa faktor:

  1. Keputusan dan tindakan SPR tidak rasional dan salah dari sisi undang-undang.
  2. Pengundi tersebut mempunyai hak untuk mengundi sebagaimana peruntukan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, Akta Pilihan Raya 1958 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.
  3. Undang-Undang Pilihan Raya tidak memperuntukkan kuasa kepada SPR untuk menafikan hak pengundi atas alasan penyakit berjangkit dan masih dalam tempoh kuarantin.
  4. Undang-Undang Pilihan Raya tidak memperuntukkan keperluan mendapatkan kebenaran Pegawai Kesihatan Daerah untuk membolehkan seseorang mengundi.
  5. SPR secara salah telah mendelegasikan kuasanya kepada Pegawai Kesihatan Daerah dalam hal kebenaran untuk mengundi.

Menurut peguam Beatrice Chin daripada AmerBon, walaupun ketika pilihan raya tersebut ada peraturan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan COVID-19, namun keputusan muktamad untuk pelaksanaan pilihan raya adalah di bawah kuasa SPR bagi memastikan hak seseorang pengundi tidak terjejas.

Justeru, BERSIH sekali lagi ingin menegaskan bahawa SPR selaku satu-satunya badan pengurusan pilihan raya di Malaysia wajib memastikan pilihan raya boleh disertai oleh semua rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai pengundi. Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunapakai oleh SPR bagi memastikan proses pengundian sekiranya SPR dan Kerajaan Malaysia sanggup untuk turun padang dan berdialog dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi mendapatkan langkah-langkah yang lebih proaktif dalam melaksanakan pilihan raya dalam situasi COVID-19.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH