Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengucapkan tahniah atas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur YA Noorin binti Badarudin yang telah membenarkan permohonan untuk satu semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan Kerajaan Malaysia yang menghalang seorang pengundi daripada mengundi di PRN Johor pada bulan Mac lepas. BERSIH berpandangan isu ini perlu dibawa ke peringkat perbicaraan yang selanjutnya bagi menegaskan kepada SPR bahawa mereka adalah institusi yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjalankan pilihan raya di Malaysia.
Peguam AmerBon, New Sin Yew menyatakan bahawa isu ini merupakan isu perlembagaan yang sangat mustahak untuk dibicarakan dan berbesar hati mahkamah akan mendengar merit kes ini. Di dalam penghujahan beliau, Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa seseorang itu boleh mengundi melainkan tidak layak atas sebab-sebab yang dinyatakan dalam Perkara 119(3) dan undang-undang berkaitan seperti Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.
Perbicaraan kebenaran semakan kehakiman ini telah berlangsung pagi tadi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan dihadiri oleh peguam daripada AmerBon dan peguam daripada Jabatan Peguam Negara. Plaintif saman ini adalah seorang pengundi di Johor yang telah dihalang untuk mengundi dalam PRN Johor oleh petugas pilihan raya kerana masih dalam perintah kuarantin COVID-19 walaupun keputusan ujian kendiri beliau adalah negatif.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan selanjutnya pada 6 Julai 2022.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH