Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menerima surat penolakan permohonan daripada Setiausaha Kerajaan Sarawak supaya Pengerusi BERSIH Thomas Fann dapat masuk ke Sarawak sebagai sebahagian daripada pasukan Jerayawara (Roadshow) Ketuanan Pengundi yang akan mengadakan sesi townhall di Kuching pada hari Sabtu ini.
BERSIH dukacita dengan keputusan Kerajaan Sarawak. Thomas Fann berada dalam senarai “tidak dibenarkan masuk” sejak daripada 2016. Meskipun Akta Imigresen memberi hak kepada Sarawak dan Sabah untuk menghalang mana-mana rakyat bukan warga Malaysia Timur namun ianya bukan bertujuan menghalang aktiviti politik yang sah dibawah Seksyen 67 akta tersebut.
BERSIH sedang mengadakan Roadshow Ketuanan Pengundi di seluruh negara bagi membangkitkan kesedaran rakyat Malaysia akan kepentingan reformasi politik dan pilihan raya bagi memperkasakan demokrasi berparlimen sebelum PRU15. Thomas Fann sebagai pengerusi BERSIH, adalah penting dalam membawakan kempen mustahak ini dan sepatutnya memberi penerangan kempen ini secara fizikal di sana.
Walaubagaimanapun mesej mengembalikan ketuanan pengundi selepas Mandat rakyat ditendang-tendang semasa Langkah Sheraton yang menjerumuskan negara kita kepada dua setengah tahun dengan ketidakstabilan politik, tidak dapat dihentikan serta akan diteruskan di Kuching pada hari Sabtu ini dan di negeri lain selepas ini. Thomas akan menerangkan kempen ini secara maya walaupun beliau ingin bertemu dengan rakan dan penyokong BERSIH serta menikmati keramahan mereka.
Anda boleh menyokong kempen roadshow Ketuanan Pengundi di seluruh negara dengan menyumbang ke:
Nama: Bersih & Adil Network Sdn Bhd
Bank: Maybank (PJ Old Town)
Nombor: 512295102931
Rujukan: KP Roadshow
BERSIH menggesa Kerajaan Sarawak untuk mengangkat larangan kepada Thomas Fann, ahli-ahli politik, peguam, ahli akademik dan aktivis-aktivis politik yang berada dalam senarai “tidak dibenarkan masuk” dengan segera. Kerajaan yang bersih, stabil dan yakin serta tidak ada yang perlu disembunyikan tidak perlu takut dengan advokasi reformasi institusi dan sebarang suara membantah, yang akan mendesak Malaysia yang lebih terbuka dan terpencar.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH
NOTA: Kami telah membuat keputusan untuk menggugurkan 2.0 daripada nama organisasi kami pada 23 November 2021 dan selepas ini dikenali sebagai BERSIH sahaja.