Kenyataan Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti (20 Julai 2022): Penubuhan Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti

  1. Kami dengan sukacita dan penuh takzimnya mengumumkan penubuhan sebuah Kaukus Parlimen yang dikenali sebagai Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti (Parliamentary Caucus for Multi-Party Democracy) di bangunan Parlimen pada Rabu, 20 Julai 2022. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) merupakan sekretariat kepada Kaukus ini. Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun juga telah dimaklumkan tentang penubuhan Kaukus ini melalui surat rasmi bertarikh 18 Julai 2022.
  2. Objektif Kaukus ini adalah bagi menggalakkan dialog, penglibatan dan penyertaan rentas parti di Parlimen untuk isu-isu reformasi institusi terutamanya Dewan Rakyat; dan untuk memudahkan penyertaan orang awam dalam proses parlimen. Kaukus ini adalah penting untuk memupuk dan memandu persaingan pelbagai parti yang sihat dan produktif bagi melahirkan udara demokrasi yang lebih baik di Malaysia. Berikut merupakan senarai ahli Kaukus:

Ahli-ahli Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti

No Nama Ahli Parlimen Parti Kawasan
1 YB Dato’ Sri Azalina Binti Othman Said UMNO P157 Pengerang
2 YB Puan Maria Chin Abdullah PKR P105 Petaling Jaya
3 YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Bin Ismail PKR P018 Kulim-Bandar Baharu
4 YB Datuk Hasanuddin bin Mohd Yunus AMANAH P101 Hulu Langat
5 YB Dato’ Dr Xavier Jayakumar A/L Arulanandam BEBAS P112 Kuala Langat
6 YB Tuan Loke Siew Fook DAP P128 Seremban
7 YB Datuk Seri Mohd Redzuan Bin Md Yusof BERSATU P135 Alor Gajah
8 YB Puan Wong Shu Qi DAP P152 Kluang
9 YB Dato Seri Panglima Madius Bin Tangau UPKO P170 Tuaran
10 YB Datuk Ignatius Darell Leiking Warisan P174 Penampang
11 YB Tuan Larry Sng Wei Shien PBM P209 Julau
12 YB Tuan Baru Bian PSB P214 Selangau

 

  1. Dalam mesyuarat pada Selasa, 19 Julai 2022, Kaukus telah melantik kami berdua sebagai konvener bersama. Kami berterima kasih atas amanah ini dan dengan sokongan padu rakan-rakan dalam Kaukus, akan memajukan agenda reformasi ini dengan sedaya-upaya kami.
  2. Sebagai permulaan, ahli-ahli Kaukus telah bersetuju untuk mengkaji mengenai dan menggerakkan usaha untuk menyemak Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi menambahbaik operasi parlimen termasuk memperkenalkan urusan bukan kerajaan (Backbenchers Kerajaan dan Ahli-ahli Pembangkang) serta mempermudahkan Rang Undang-undang (RUU) Ahli Persendirian dan digitalisasi proses-proses parlimen, memperkasa Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen, serta mengadakan perbincangan atau pendengaran bersama pihak berkepentingan seperti pakar-pakar, masyarakat sivil, media dan orang ramai berkenaan agenda pemerkasaan parlimen dan pengukuhan demokrasi.
  3. Kami juga mengambil berat tentang ketidakseimbangan gender dalam kepimpinan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan melihat peri pentingnya untuk barisan timbalan Yang di-Pertua di kedua-dua Dewan menggambarkan kepelbagaian dalam gender, wilayah dan kepartian.
  4. Kami seluruh ahli Kaukus ini amat berharap semoga platform ini dimanfaatkan seoptimumnya oleh semua pihak dalam usaha memperkasakan peranan sebenar para Ahli Parlimen terutamanya Backbenchers Kerajaan dan Ahli-ahli Pembangkang selaku pembuat undang-undang dan dasar negara sekaligus menjadikan institusi Parlimen benar-benar profesional dan bertaraf dunia.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
YB Dato’ Sri Azalina Binti Othman Said                       YB Puan Maria Chin Abdullah
Konvener Bersama                                                                     Konvener Bersama