Rujuk Ahli Parlimen Bermulut Cabul Secara Automatik ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk Hukuman

Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional (KPPP) menggesa pindaan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 36 untuk merujuk secara automatik terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang mengeluarkan ungkapan seksis, perkauman, khianat, subversif dan menyinggung kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat, dan mengenakan hukuman berat jika didapati bersalah.

Tuduhan liar terhadap Ahli-ahli Parlimen wanita Pembangkang sebagai “tidak senonoh” dan dua kali menyebut “p***m*k” oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman (UMNO) dalam persidangan Dewan Rakyat pada tengah hari 20 Julai 2022 mendedahkan bukan sahaja kebiadaban dan kekasaran Ahli Parlimen yang berulang kali mengaibkan kawasan dan pengundinya, tetapi juga kegagalan Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Rashid Hasnon untuk bertindak adil dan kegagalan dua tahun Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat – dipengerusikan oleh Yang di-Pertua, Tan Sri Azhar Azizan Harun – untuk mengetatkan peraturan tersebut.

Timbalan Yang di-Pertua, Rashid Hasnon cuma memberi amaran ringan kepada Tajuddin Abdul Rahman bagi ungkapan lucah tersebut, hanya dua hari selepas beliau menggantung Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan) kerana menuntut perbahasan rampasan aset Petronas yang didakwa oleh keturunan Sultan Sulu.

Hukuman yang tidak konsisten dan tidak seimbang (tidak wajar sama sekali untuk Ahli Parlimen Kota Belud) bukan sahaja mendedahkan penilaian yang lemah dan keperibadian lesu Timbalan  Yang di-Pertua dalam perkara seperti kesopanan Parlimen, keterangkuman gender dan kepentingan awam, tetapi juga kecacatan struktur dalam barisan Timbalan Yang di-Pertua yang gagal menggambarkan kepelbagaian gender (tiada wanita), wilayah (tiada dari Malaysia Timur) dan kepartian (tiada Pembangkang).

KPPP bagaimanapun ingin mengingatkan orang ramai bahawa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat adalah tempang dalam menghukum pesalah berkaitan ungkapan kesat dan merendahkan. Walaupun ungkapan seksis, perkauman, khianat, subversif dan menyinggung semuanya “menjadi kesalahan” di bawah Peraturan 36(4) dan (10), namun tiada penalti diperuntukkan. Oleh itu, seseorang pesalah boleh terlepas dengan hanya menarik balik perkataan dan memohon maaf, yang mana Tajuddin Abdul Rahman tidak ambil peduli pun untuk melakukannya di hadapan Timbalan Yang di-Pertua yang lemah tersebut.

Untuk menghalang secara berkesan kekasaran tersebut, KPPP menyeru Yang di-Pertua sebagai pengerusi Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat untuk memanggil Jawatankuasa dan meminta pindaan Peraturan Mesyuarat 36 diluluskan sebelum mesyuarat Parlimen berakhir pada Ogos ini. Peraturan Mesyuarat 36 perlu dipinda supaya:

(i) Pesalah mesti dirujuk secara automatik kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat;

(ii) Jika didapati bersalah, mereka akan didenda sekurang-kurangnya RM500.

(iii) Keberatan hukuman harus lebih tinggi bagi pesalah berulang, dengan penggantungan secara mandatori menjadi pilihan untuk memaksa parti atau whip parti menguatkuasakan disiplin dalam kalangan Ahli Parlimen parti mereka.

Dua cadangan pertama kali dikemukakan oleh Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto pada 22 Julai 2020, tepat dua tahun pada hari ini, selepas beliau sendiri menjadi sasaran fitnah perkauman oleh Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim.

(https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2020/07/22/mp-submits-bid-for-stronger-action-over-racist-sexist-remarks-in-parliament/)

Malangnya, dua tahun selepas cadangannya tidak diendahkan oleh Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat, sebuah lagi insiden berlaku.

Secara simboliknya, memandangkan Ahli Parlimen dibayar RM500 sebagai elaun untuk kehadiran harian, denda sekurang-kurangnya RM500 menunjukkan kehadiran mereka akan terbatal oleh perkataan yang menyinggung perasaan tersebut. Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ialah lembaga tatatertib Dewan Rakyat. Bagi cadangan ketiga pula, penggantungan mandatori Ahli Parlimen yang melanggar peraturan akan membuatkan parti-parti bangun dan mengambil tindakan pencegahan kerana ia boleh menyebabkan kehilangan ahli mengundi dalam Dewan Rakyat.

Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat mempunyai tujuh orang ahli. Selain Yang di-Pertua sebagai pengerusi, empat orang daripadanya adalah backbencher Kerajaan: Ahmad Nazlan bin Idris (Jerantut-UMNO), Azizah Mohd Dun (Beaufort-Bersatu), Nancy Shukri (Batang Sadong-PBB), Ahmad Amzad bin Mohamed (Kuala Terengganu- PAS), dan dua orang daripada Pembangkang: Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh-PKR) dan Hannah Yeoh (Segambut-DAP).

(https://www.parlimen.gov.my/jawatankuasa-dr.html?view=55&uweb=dr&)

Dengan ancaman kemungkinan denda dan penggantungan, Ahli Parlimen dan parti akan menjalankan disiplin yang lebih ketat untuk mematuhi adab parlimen. Kegagalan semasa untuk menghukum pesalah berulang telah memberi isyarat bahawa kelakuan sedemikian diterima, malah dibenarkan, oleh Dewan Rakyat.

Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.

Sila kunjungi Laman FB kami untuk kenyataan media dan bahan kempen lain: https://www.facebook.com/SC4PP

Ditandatangani oleh:

  1. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)
  2. Persatuan Pengundi Muda (Undi18)
  3. Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
  4. Bait Al-Amanah
  5. ENGAGE Network
  6. WISDOM Foundation
  7. Institute for Political Reform and Democracy (REFORM)