Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) atas kelulusan RUU Antilompat Parti hari ini setelah sekian lama tertangguh. Kelulusan ini adalah batu penanda kepada kejayaan Memorandum Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU) yang memperlihatkan perbincangan dan kerjasama secara profesional antara ahli politik di pihak yang berbeza untuk duduk sekali berbincang polisi bagi membawa demokrasi negara kita bergerak satu langkah ke hadapan.
BERSIH juga ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat (ADR) yang telah terlibat dalam perbahasan dan 209 ahli yang mengundi untuk meluluskan RUU tersebut. Kita juga berharap agar Dewan Negara juga akan dengan sebulat suara meluluskan RUU ini untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Peranan Menteri Perundangan Dato’ Sri Wan Junaidi dan ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk RUU Antilompat Parti yang diketuai beliau amat penting dan harus dipuji. Sebagaimana pepatah Melayu, muafakat membawa berkat. Advokasi oleh Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti kami dapat direalisasikan kerana diberi penekanan oleh organisasi media dan kita amat bersyukur atas kerjasama ini yang memperkukuhkan sistem demokrasi kita.
Namun demikian, kelulusan RUU Antilompat ini perlu dianggap satu permulaan kepada satu proses untuk memastikan undang-undang yang baru sahaja dipinda dan diluluskan ini lebih progresif, adil dan kukuh untuk menghadapi cabaran-cabaran politik pada masa hadapan. BERSIH berpandangan bahawa RUU yang diluluskan ini masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan.
BERSIH mengenalpasti masih ada sekurang-kurangnya dua kelemahan dalam RUU yang diluluskan ini yang perlu diperbaiki pada masa hadapan. Kelemahan pertama adalah RUU ini tidak menangani isu-isu berkaitan dengan parti yang bertukar gabungan selepas pilihan raya (coalition hopping). Langkah Sheraton berlaku akibat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang keluar daripada PH dan seterusnya membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan sokongan gabungan Muafakat Nasional oleh UMNO dan PAS.
Kelemahan kedua adalah wakil rakyat yang dipecat parti tidak dimasukkan dalam sebab kekosongan kerusi. Dengan mengecualikan pemecatan daripada takfrifan lompat parti, undang-undang antilompat ini akan dilemahkan kerana ADR atau ADUN yang berpaling tadah melawan parti tidak akan meletakkan jawatan dan menunggu sehingga dipecat untuk mengekalkan kerusi di dalam Dewan.
BERSIH ingin menekankan bahawa mekanisme terbaik untuk menangani gejala lompat parti ini adalah Undang-Undang Prosedur Pecat Wakil Rakyat (Recall Law) di mana wakil rakyat yang keluar parti atau menukar parti tidak secara automatik dikosongkan kerusi. Keputusan sama ada wakil rakyat tersebut perlu kekal atau tidak perlu diberikan kepada rakyat semula untuk menentukan melalui prosedur atau petisyen bagi memecat wakil rakyat tersebut. Undang-undang ini akan memperkasakan lagi kuasa rakyat dan memastikan rakyat sentiasa cakna dengan prestasi wakil rakyat mereka kerana asas-asas memecat wakil rakyat tidak hanya terhad kepada pertukaran parti sahaja.
Walaupun adanya undang-undang antilompat parti (Recall Law atau Anti-Hopping Law) kami juga sedar bahawa undang-undang ini tidak akan berkesan sepenuhnya sekiranya pengundi masih menganggap wakil rakyat hanya pegawai kebajikan semata-mata kerana peranan sebenar wakil rakyat tidak diperkasakan untuk menggubal dasar dan polisi di Dewan. Dengan tanggapan sedemikian, pelompat parti akan menang dalam pilihan raya kecil selagi mereka lompat ke arah kerajaan dan mendapat lebih sumber naungan.
Justeru, semua pihak termasuk Kerajaan, Pembangkang dan semua parti politik perlu dengan serius mempertimbangkan perubahan atau penambahbaikan struktural kepada sistem politik kita dengan melaksanakan pemberian peruntukan wakil rakyat (CDF) yang saksama kepada semua wakil rakyat, had peratusan wakil rakyat yang dilantik menjadi Menteri dan Timbalan Menteri, larangan wakil rakyat persendirian memegang jawatan di dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), pemerkasaan dan kebebasan Parlimen dan DUN, serta reformasi Peguam Negara untuk menghentikan pendakwaan terpilih.
Semua pembaharuan dan penambahbaikan ini adalah amat mustahak untuk mengiringi RUU Antilompat Parti yang diluluskan supaya negara kita lebih stabil, progresif dan demokratik.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH