Kenyataan Media oleh Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti (3 Ogos 2022): Membuka Kunci Kuasa Dewan Rakyat Melalui Reformasi Peraturan Mesyuarat

Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti (Parliamentary Caucus for Multi-Party Democracy) menggesa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat diperkasa dan ditambahbaik. Adalah penting supaya pindaan dibuat kepada Peraturan Mesyuarat, memandangkan kelemahan peraturan dan proses Parlimen semasa yang telah melemahkan peranan Parlimen sebagai cabang perundangan yang bebas, profesional dan berkesan.

Hari ini Kaukus dengan sukacitanya melancarkan laporan penyelidikan yang dinaungi oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), bertajuk “Unlocking the Power of the Dewan Rakyat: The Rule Revisions Needed Now”, yang ditulis oleh Pakar Parlimen, Maha Balakrishnan.

Reformasi Peraturan Mesyuarat telah dijanjikan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan dan Pakatan Harapan namun masih belum ditunaikan. Oleh itu, kami menggesa pemain politik dalam proses ini, khususnya Kerajaan dan Dewan Rakyat supaya menyegerakan proses pindaan Peraturan Mesyuarat sebelum Parlimen dibubarkan.

Berikut adalah cadangan pembaharuan seperti yang terkandung dalam kertas kajian ini:

1. Pengurusan usul percaya dan tidak percaya.

2. Kawalan masa dan agenda Parlimen dengan mengurangkan kawalan Kerajaan ke atas kalendar Parlimen, mengiktiraf kehendak majoriti parlimen (parliamentary majority) dan meningkatkan kepastian dan konsistensi untuk menyelesaikan urusan Dewan.

3. Menambahbaik struktur peluang untuk urusan Ahli Persendirian (Private Member’s business) dengan mewujudkan slot mingguan khusus untuk urusan Ahli Persendirian, memastikan pelaksanaan urusan yang adil dan saksama ketika masa Ahli Persendirian (Private Member’s time), mengurangkan sekatan ke atas usul Ahli Persendirian (Private Member’s motions) dan memudahkan proses Rang Undang-undang Ahli Persendirian (Private Member’s Bill) dan membebaskannya daripada kawalan Kerajaan .

4. Membolehkan orang ramai membuat petisyen kepada Parlimen dengan merombak proses petisyen Parlimen di Dewan Rakyat, mewujudkan kedua-dua jenis sistem petisyen kertas dan e-petisyen, mewujudkan mekanisme maklum balas wajib dan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Petisyen tetap yang baharu.

5. Meningkatkan keupayaan jawatankuasa-jawatankuasa Parlimen untuk beroperasi secara bebas untuk agenda jawatankuasa, kuasa untuk mengadakan pendengaran dan cara menerbitkan penyata mereka sendiri, dan pengeluaran garis panduan untuk pemegang taruh seperti kuasa, kewajiban dan perlindungan saksi serta proses inkuiri.

Kaukus akan mengkaji dengan teliti cadangan yang dibuat oleh BERSIH dalam laporan ini dan jika terdapat kata sepakat di kalangan ahli kami, kami akan berusaha untuk melakukan libat urus dengan Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat, Jawatankuasa Dewan, Pejabat Yang di-Pertua dan para pengerusi Jawatankuasa Pilihan lain, untuk pelaksanaan beberapa cadangan ini.

Sementara itu, kami mengucapkan tahniah kepada BERSIH dan Maha Balakrishnan atas sebuah laporan kajian yang cemerlang yang mana cadangannya, jika diterima pakai, akan membuka kunci kepada Dewan Rakyat untuk memenuhi peranan perlembagaannya sebagai cabang perundangan Kerajaan.

Dikeluarkan oleh,
Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti