Perutusan Hari Malaysia daripada BERSIH: Malaysia Layak Lebih Baik! Jadikan Pengundian Lebih Mudah Kepada Pengundi Luar Kawasan dan Luar Negara

Sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia pada tahun ini sangat bermakna. Sebagai negara kita semakin menua. Kelemahan institusi yang membenarkan Perdana Menteri menjarah billion Ringgit wang negara kita sedang dipulihkan dan Najib telah dihumban ke penjara.

Ini hanya berjaya disebabkan tindakan patriotik 12,246,483 rakyat Malaysia yang mengundi secara kolektif dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagi mengawasi ahli politik dan pegawai kerajaan, hak mengundi rakyat perlu dipertingkatkan lagi. Semua rakyat Malaysia seharusnya dibenarkan untuk mengundi dengan kemudahan maksimum dan kos yang minimum. Walaubagaimanapun perkara ini tidak benar untuk 500,000 pengundi asal Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung dan 60,000 pengundi Semenanjung yang tinggal di wilayah Borneo.

Sekiranya mereka ingin mengundi di pilihan raya persekutuan atau negeri, mereka perlu mengambil cuti daripada kerja dan belanja lebih RM1,000 untuk perjalanan pulang ke kawasan mereka. Ini juga bermaksud mereka yang tidak mampu membeli tiket kapal terbang atau mengambil cuti akan dinafikan hak mengundi.

Mempertimbangkan bahawa kebanyakan orang Sabah dan Sarawak meninggalkan wilayah mereka kerana kekurangan peluang pendidikan dan pekerjaan, apabila mereka dinafikan hak untuk mengundi secara tidak hadir, sebenarnya orang Sabah dan Sarawak secara sistematik telah dikesampingkan dalam politik Malaysia.

Tidak mengejutkan, sekalipun bila peratusan turun mengundi kebangsaan adalah tinggi, contohnya 76% (2008), 85% (2013), dan 82% (2018), angka di Sarawak hanya 65%, 76% dan 73% untuk pilihan raya parlimen, rendah sebanyak 9-11%. Sementara itu, Sabah pula merekodkan hanya 69%, 80% dan 77% dalam pilihan raya yang sama, rendah sebanyak 5-7%.

Tidak munasabah dan tidak dapat dimaafkan bahawa kita sebagai negara dapat membiarkan ketidakadilan ini dalam politik dan pilihan raya selama 59 tahun!

Untuk memaknakan lagi sambutan Hari Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memberikan status pengundi tidak hadir kepada pengundi luar wilayah dan membenarkan mereka untuk menjalani undi awal di pusat pengundian sebelum PRU15, dan bukan terus menerus mencari dalih untuk tidak melaksanakannya.

SPR boleh mendirikan ‘Pusat Undi Awal Mega’ di setiap ibu negeri bagi pengundi luar kawasan untuk mengundi tiga hari sebelum Hari Pengundian, bagi menghantar semula kertas undi mereka kepada Pegawai Pengurus di kawasan untuk dikira pada Hari Pengundian. Kementerian Kesihatan telah menunjukkan bahawa operasi besar-besaran di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dapat dijalankan dengan teratur dan selamat.

Kami juga menggesa untuk proses pengundian luar negara dipermudahkan, menggantikan operasi manual kertas undi pos dengan membenarkan pengundi memuatturun dan mencetak kertas undi pos versi PDF, agar kertas undi boleh diposkan selepas Hari Penamaan dan sempat sampai kepada Pegawai Pengurus tepat pada masanya.

Kedua-dua pembaharuan pengundi luar negara dengan kemudahan undi awal dan mempermudahkan proses pengundi pos luar negara wajib dilaksanakan sebelum PRU15 untuk mengelakkan peratusan turun mengundi yang rendah sebagaimana di PRN Johor pada bulan Mac lepas iaitu hanya 55%.

Peratusan yang rendah melemahkan keabsahan Kerajaan, terutamanya apabila Kerajaan itu perlu mengambil langkah yang tidak popular tetapi perlu bagi menangani krisis.

BERSIH mengulangi gesaan kami pada Hari Merdeka bahawa Malaysia layak lebih baik melalui reformasi berikut sebelum PRU15:

  1. Pejabat Pendakwa Raya yang bebas dan terpisah daripada Jabatan Peguam Negara yang fungsi utamanya akan terhad sebagai penasihat undang-undang kepada Kerajaan.
  2. Peluasan kemudahan undi awal kepada pengundi luas kawasan (Sabah, Sarawak dan Semenanjung) dan mempermudahkan proses pengundian pos untuk pengundi luar negara, bagi meningkatkan peratus turun mengundi.
  3. Had tempoh Perdana Menteri 10 tahun untuk mencegah korupsi dan ketidakstabilan politik kerana pemusatan kuasa.
  4. Akta Perkhidmatan Parlimen, untuk membolehkan autonomi pentadbiran dan kewangan Parlimen autonomi agar membawa kepada penggubalan undang-undang dan semak imbang kerajaan yang lebih baik.
  5. Akta Pembiayaan Politik, termasuk pendanaan awam kepada parti-parti politik untuk mencegah korupsi dan politik wang.
  6. Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan yang Saksama, bagi memastikan semua ahli parlimen menerima peruntukan yang saksama bagi kawasan mereka.
  7. SPR yang bebas, bertanggungjawab kepada Parlimen dan tidak dikawal oleh Perdana Menteri.
  8. Penambahbaikan SPRM, dengan menjadikannya bertanggungjawab kepada Parlimen dan tidak dikawal oleh Perdana Menteri.
  9. Pewujudan slot masa “Urusan Ahli Persendirian” dalam sidang parlimen dan ruangan sewajarnya untuk membolehkan “RUU Persendirian” demi memperkasakan Ahli-Ahli Pembangkang dan Backbenchers Kerajaan.
  10. Konvensyen perlembagaan baru Parlimen Berpenggal Tetap, di mana Perdana Menteri hanya boleh memohon pembubaran parlimen awal di dalam dua keadaan, pertana, kehilangan kepercayaan di Parlimen, atau kedua, dua pertiga ahli parlimen menyokong pilihan raya awal.

Malaysia layak yang lebih baik. Kami menggesa semua rakyat Malaysia yang menyayangi demokrasi dan kestabilan yang sebenarnya untuk menyertai kami mendesak semua parti politik dan ahli parlimen untuk menyokong 10 reformasi ini. Tunjukkan tuntutan anda untuk Malaysia yang lebih baik dengan mengundi dan menggalakkan semua rakyat Malaysia 18 tahun ke atas untuk keluar dan undi. Ingat, anda sebenarnya telah pun berdaftar sebagai pengundi. Cari di mana pusat pengundian anda, bawa kad pengenalan dan undi!

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH

#MalaysiaDeservesBetter
#MalaysiaLayakLebihBaik
#Ketuanan Pengundi
#BersihkanPolitik
#KeluarMengundi