Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, menyeru Dewan Rakyat untuk melanjutkan jangka hayat sembilan (9) buah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) sehingga akhir penggal Parlimen ke-14.
Penggal bagi sembilan buah JPKP ini akan tamat pada 10 November 2022, kerana penubuhannya dilakukan melalui usul yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 11 November 2020, yang memberi mereka mandat selama dua tahun.
Kami menegaskan bahawa pelanjutan perlu dilakukan pada minggu pertama mesyuarat Parlimen untuk membolehkan JPKP tersebut merancang gerak kerja mereka melangkaui tarikh 10 November 2022. Walaupun mandat mereka akan terhenti secara automatik apabila sesebuah pilihan raya dipanggil, gerak kerja mereka tidak harus dihalang oleh permainan tekaan tarikh pilihan raya.
Kami seterusnya menegaskan, setiap kementerian harus dipantau oleh sekurang-kurangnya sebuah jawatankuasa parlimen dan jawatankuasa tersebut harus bersifat kekal dan bukannya bersifat sementara (dipanggil “khas”) seperti yang sedia ada.
Jawatankuasa berasaskan kementerian sedemikian (dipanggil “Jawatankuasa Jabatan” di UK) boleh meningkatkan kedua-dua ketelusan dan kebertanggungjawaban kementerian serta kualiti penggubalan undang-undang dan dasar.
Sembilan buah JPKP yang mungkin tamat mandatnya dalam tempoh kurang dua bulan ini adalah yang bertanggungjawab ke atas (1) Kebebasan Asasi Dan Hak-Hak Di Bawah Perlembagaan, (2) Kewangan dan Ekonomi, (3) Keselamatan, (4) Agensi-agensi di Bawah Jabatan Perdana Menteri, (5) Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri, (6) Pembangunan Infrastruktur, (7) Pendidikan, (8) Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial dan (9) Kesihatan, Sains dan Inovasi.
Kami menyeru 10 orang Ahli Parlimen (MP) yang berada dalam Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman mengenai Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) untuk memastikan sebuah usul diluluskan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan sembilan buah JPKP ini. Jika sembilan buah JPKP ini dibubarkan secara tidak sengaja kerana usul tidak diluluskan tepat pada masanya, perkara 3.2 dalam Jadual MoU mengenai perluasan jawatankuasa Parlimen akan tercabul.
Dewan Rakyat mempunyai 10 buah JPKP. Terakhir, JPKP mengenai Hal Ehwal Antarabangsa, ditubuhkan pada Oktober 2021 dan tempoh perkhidmatannya tidak akan tamat sebelum Parlimen berakhir pada 15 Julai 2023.
Kami menegaskan, terdapat 9 buah portfolio kementerian yang tidak dipantau oleh mana-mana JPKP, termasuk alam sekitar, sumber manusia, sumber asli dan perpaduan negara. Komitmen kerajaan untuk menggalakkan matlamat pembangunan mampan (SDG) dengan menubuhkan pusat SDG adalah tidak boleh diyakini apabila tiada sebuah pun JPKP mengenai SDG, perlindungan alam sekitar atau keterangkuman sosial (lebih luas daripada hal ehwal wanita dan kanak-kanak).
Tambahan pula, JPKP semasa ditugaskan untuk beberapa kementerian, yang mana menghalangnya daripada berfungsi secara optimum. Yang paling teruk ialah JPKP mengenai Pembangunan Infrastruktur, yang meliputi Kerja Raya, Pengangkutan, Pembangunan Luar Bandar, dan Perumahan dan Pihak Berkuasa Tempatan. Maka, perlu wujudnya sebuah JPKP untuk setiap kementerian-kementerian penting ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga harus bertanggungjawab kepada sebuah JPKP mengenai Hal Ehwal Pilihan Raya, bukannya kepada Jabatan Perdana Menteri.
Kami menggesa Jawatankuasa Pemandu MoU untuk menunaikan tiga janji yang masih tidak ditunaikan yang telah lama tertunggak: pindaan Perlembagaan untuk menetapkan had tempoh jawatan sepuluh tahun Perdana Menteri (perkara 2.3), meluluskan Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) (perkara 3.1) dan pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Parlimen (perkara 3.4).
Bagi memastikan prosiding Parlimen dijalankan dengan teratur dan berkesan, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat mesti dipinda untuk menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa tetap bagi kesemua kementerian dan agensi utama.
Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.
Boleh kunjungi Laman FB kami untuk kenyataan media dan bahan kempen lain: https://www.facebook.com/SC4PP
Ditandatangani oleh:
- Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)
- ENGAGE Network
- WISDOM Foundation
- Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
- Bait Al-Amanah
- Persatuan Pengundi Muda (Undi18)
- Institute for Political Reform and Democracy (REFORM)