Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) telah melancarkan petisyen atas talian menggesa Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan semua Ahli Parlimen untuk memperkukuhkan kedaulatan undang-undang dengan memisahkan peranan Pendakwa Raya (PP) daripada Peguam Negara (AG) sebelum PRU15 ini.
Petisyen di change.org tersebut menyatakan:
- Peguam Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah berdasarkan nasihat PM untuk menjadi penasihat undang-undang kepada YDPA, PM dan Kabinet, merupakan satu lantikan politik.
- Peguam Negara sekarang juga merupakan Pendakwa Raya dan mempunyai kuasa di bawah budi bicara beliau untuk menjalankan atau menghentikan sebarang perbicaraan bagi sesuatu kesalahan.
- Hal ini merupakan suatu konflik kepentingan dan telah menyebabkan banyak tuduhan campur tangan politik melalui pendakwaan terpilih dan imuniti, tidak meneruskan pendakwaan yang sedang berjalan dan penarikan pendakwaan terhadap mereka yang di pihak kerajaan.
- Peranan Pendakwa Raya perlu diasingkan dan dilantik oleh YDPA melalui proses yang telus dan bebas daripada pengaruh PM.
- Peguam Negara perlu kekal dilantik atas nasihat PM untuk menjadi penasihat kerajaan dan tidak berperanan dalam proses kehakiman.
- Kedaulatan undang-undang adalah salah satu Rukunegara dan prinsip pemisahan kuasa antara Eksekutif, Kehakiman dan Legislatif perlu dipertahankan setiap masa.
Kami rakyat Malaysia menolak sebarang parti politik yang tidak berazam untuk atau mempertahankan kedaulatan undang-undang dalam negara ini. Kami tidak mahu keadilan dua darjat di mana yang kaya dan berkuasa meloloskan diri daripada keadilan manakala rakyat biasa diharap untuk menjadi warga yang patuh undang-undang atau akan berhadapan dengan hukuman.
Kami menggesa semua rakyat Malaysia yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang untuk menandatangan petisyen ini dan selepas dua minggu, kami akan menyerahkannya kepada Perdana Menteri bersama laporan kajian kami “Reforming the Office of Attorney General and The Judicial and Legal Services in Malaysia”.
Petisyen boleh diakses di: https://bit.ly/PisahkanPPdariAG
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH