Bersih dan Global Bersih menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membuat perubahan kepada sistem pengundian pos luar negara untuk PRU-15 dengan segera

Bersih dan Global Bersih menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya membuat perubahan segera terhadap sistem pengundian pos luar negara ini bagi memastikan jumlah pengundi Malaysia yang semakin meningkat di luar negara dapat mengundi dengan berkesan pada PRU 15.

Pelaksanaan Undi18 dan Pendaftaran Pengundi Secara Automatik (AVR) akan menyebabkan peningkatan jumlah pengundi daripada 14.9 juta pada PRU-14 kepada 21.1 juta dalam daftar pemilih semasa.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan memerlukan masa yang mencukupi untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya dan memastikan sistem undi pos di luar negara dilaksanakan dengan berkesan. Memandangkan spekulasi bahawa PRU-15 mungkin diadakan pada November 2022, terdapat keperluan untuk perubahan berikut dilaksanakan secepat mungkin:

  • Suruhanjaya Pilihanraya perlu membuka proses pendaftaran untuk pengundi luar negara dengan serta merta dan menyediakan proses pendaftaran pengundi luar negara yang berterusan bagi mengelakkan proses ini terlewat dan tertangguh. Pada masa ini, rakyat Malaysia di luar negara perlu mendaftar sebagai pegundi pos luar negara dalam tempoh yang singkat sebelum setiap pilihan raya. Ini memberi tekanan kepada kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya memproses permohonan manakala pengundi luar negara pula tidak sempat untuk memohon dalam tempoh masa yang terhad.

 

  • Bukan warganegara Malaysia harus dibenarkan menjadi saksi pada dokumen undi pos luar negara. Keperluan semasa bahawa dokumen undi pos mesti ditandatangani dan disaksikan oleh seorang warganegara Malaysia telah terbukti menjadi batu penghalang bagi ramai rakyat Malaysia di luar negara yang tinggal di kawasan yang mempunyai sedikit atau tiada rakyat Malaysia yang lain. Membenarkan bukan warganegara Malaysia menjadi saksi akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia di luar negara mengambil bahagian dalam proses pengundian.

 

  • Pemanjangan tempoh kempen kepada sekurang-kurangnya 21-25 hari, bagi memberi masa yang mencukupi untuk kertas undi pos dihantar kepada pengundi luar negara dan dikembalikan ke pusat mengundi. Tempoh kempen untuk pilihan raya sebelum ini terlalu singkat dan telah menghalang pengundi luar negara menerima dan memulangkan kertas undi secara pos biasa, dan memerlukan penggunaan perkhidmatan kurier yang mahal. Sebahagian besar daripada kertas undi tidak diterima dalam jangkamasa yang singkat ini , atau tidak diterima sama sekali.

 

Perubahan ini boleh dibuat sebelum PRU-15 kerana ia adalah perubahan prosedur yang mudah mengikut budi bicara Suruhanjaya Pilihan Raya. Perubahan ini tidak memerlukan pindaan penting kepada mana-mana undang-undang atau dasar sedia ada. Bagi memastikan proses pengundian pos di luar negara berjalan dengan berkesan semasa PRU-15, perubahan ini perlu dilaksanakan secepat mungkin oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan Kementerian berkaitan.

Sekiranya pilihan raya diadakan pada tahun hadapan, dan terdapat masa yang mencukupi untuk melaksanakan dan menguji proses baharu, SPR harus mempertimbangkan kaedah lain untuk memastikan rakyat Malaysia di luar negara mempunyai masa untuk mengembalikan undi mereka, contohnya, dengan membenarkan akses kepada kertas undi dalam talian . Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mana-mana sistem baharu dicuba dan diuji sebelum pelaksanaan bagi memastikan keberkesannya.

Kami juga menekankan kepentingan jabatan/agensi kerajaan yang berkaitan agar secara proaktif menyampaikan maklumat berkenaan proses pengundian di luar negara kepada rakyat Malaysia di luar negara, dan menyeru Wisma Putra untuk menggerakkan rangkaian misi dan kedutaan luar negara bagi menyokong proses ini. Sebagai contoh, pengundi perlu segera dimaklumkan bahawa mereka perlu membuka akaun pengguna di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya untuk boleh mendaftar sebagai pengundi luar negara.

Perubahan ini diperlukan segera bagi mengelakkan kesilapan yang dilakukan semasa PRU-14, seperti kekurangan maklumat yang jelas dan telus untuk pengundi luar negara serta ketibaan  lewat undi pos yang menghalang pengundi luar negara daripada mengundi.

Bersih ialah sebuah organisasi pro-demokrasi yang komited untuk menyokong pembaharuan institusi, dengan tumpuan khusus pada reformasi pilihan raya, untuk mengukuhkan demokrasi berparlimen prosedural melalui kempen awam, penglibatan dwipartisan dengan parti politik dan mempertahankan kebebasan asasi.

Global Bersih adalah pertubuhan bukan kerajaan(NGO) antarabangsa rakyat Malaysia di luar negara, yang diwujudkan untuk menyokong masyarakat sivil Malaysia dan mengukuhkan demokrasi Malaysia yang semakin matang, dengan berfokuskan hak mengundi rakyat Malaysia di luar negara.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Asraf Sharafi
Pegawai Program Kanan
+6014-572 4007
[email protected]

Nirmala Devi Windgaetter
Setiausaha Agung
[email protected]
+49 1722389665
Global Bersih
15 Cour des Bastion
CH-1205
Geneva, Switzerland www.globalbersih.org facebook.com/GlobalBersih twitter.com/GlobalBersih

  1. https://en.wikipedia.org/wiki/Malaysian_diaspora
  2. https://bersih.org/2022/04/04/major-reform-needed-to-postal-voting-process-to-enfranchise-over-1-million-malaysians-living-overseas/
  3. Elections(Conduct of Elections) Regulations 1981, s3