Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) sukacitanya melancarkan Laporan Tahunan kami bagi tahun 2021, tahun di mana negara kita berdepan kemelut politik dengan pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika itu pada 12 Januari 2021. Darurat tersebut telah menggantung Parlimen dan pilihan raya, dengan tujuan kononnya melawan penularan Covid-19 tetapi hakikatnya mungkin disebabkan penarikan sokongan oleh beberapa Ahli Parlimen (MP) terhadap gabungan beliau.
Di sebalik sekatan yang telah dikenakan oleh Perintah Kawalan Pergerakan dan penggantungan demokrasi berparlimen oleh kerajaan Muhyiddin, BERSIH tetap bergerak mencari penyelesaian kepada kemelut politik yang menghantui kita sejak Langkah Sheraton pada 2022. Pensejajaran parti politik dan pelompatan wakil-wakil rakyat yang menyebabkan tumbangnya enam kerajaan negeri pada hujung tahun 2021, serta kerajaan Muhyiddin yang jatuh pada Ogos 2021, menggariskan keperluan mendesak kepada reformasi institusi untuk mengembalikan kestabilan politik dan memperkasakan akauntabiliti ahli politik kepada rakyat.
Keutamaan BERSIH adalah untuk mendesak reformasi institusi yang akan mengembalikan ketuanan pengundi dan meratakan padang permainan kepada semua parti politik. Pendirian BERSIH berkenaan banyak reformasi adalah konsisten, contohnya pemisahan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara, peruntukan pembangunan kawasan(CDF) yang saksama, dan kami telah mengkritik kerajaan dan ahli politik tanpa mengira daripada parti manapun. Kami beriltizam untuk kekal neutral dan berprinsip dalam mengemudi lanskap politik yang dinamik dan cair yang sedang kita hadapi sekarang.
Di sini kami ingin menekankan beberapa pencapaian reformasi pilihan raya dan institusi yang utama pada 2021.
- Pembatalan Darurat – BERSIH, bersama enam pertubuhan masyarakat sivil, telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi pada 2 Februari 2021 untuk mendapatkan pengisytiharan peranan Parlimen dan kehakiman dalam tempoh darurat. BERSIH menggesa pembatalan darurat dan telah melancarkan kempen bagi tujuan tersebut. Darurat telah diangkat pada 21 Julai 2021 sebelum tamat tempoh iaitu pada 1 Ogos 2021.
- Penggantungan Parlimen Diangkat – BERSIH telah berkempen untuk pembukaan Parlimen melalui kenyataan media, infografik, video dan lobi belakang tabir dengan parti-parti politik dan ahli-ahli Parlimen. Akibat tekanan awam serta daripada dalam gabungan kerajaan, kerajaan Muhyiddin akhirnya bersetuju untuk mengangkat penggantungan Parlimen dan meneruskan sidang Parlimen dengan Sidang Khas daripada 26 Julai hingga 2 Ogos 2021.
- Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) Bersejarah – BERSIH adalah penyokong utama CSA bagi mengembalikan kestabilan politik dalam krisis pandemik sejak Langkah Sheraton. Pada penghujung sebelum Muhyiddin jatuh, beliau menawarkan pakej reformasi kepada pembangkang namun ditolak oleh Pakatan Harapan(PH). Selepas pengunduran Muhyiddin sebagai PM kelapan, PM baharu Ismail Sabri Yaakob menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU) bersama Pakatan Harapan pada 13 September 2021, yang menjanjikan penggubalan undang-undang antilompat, peruntukan CDF yang sama rata, reformasi parlimen, had penggal PM, pelaksanaan Undi18 dan Pendaftaran Pengundi Secara Automatik (PPSA) dan lain-lain. MOU ini mungkin perjanjian keyakinan dan pembekalan yang pertama di peringkat persekutuan dalam sejarah politik Malaysia.
- Peluasan Undi Tidak Hadir kepada Rakyat Malaysia di Negara Jiran – BERSIH telah lama mendesak agar rakyat Malaysia di luar negara, termasuk mereka yang berada di negara jiran seperti Singapura, Selatan Thailand, Brunei dan Kalimantan (Indonesia) untuk diberikan hak undi tidak hadir dan mengundi secara pos. Hak ini diberikan kepada rakyat Malaysia di luar negara semasa PRU14 tetapi tidak kepada mereka yang berada di negara jiran sehinggalah PRN Melaka pada November 2021. Kita semua rakyat Malaysia di luar negara boleh memohon menjadi pengundi pos.
- Pelaksanaan Peruntukan CDF Yang Saksama Dalam MOU – BERSIH telah mengkritik peruntukan CDF yang tidak sama rata kepada wakil rakyat disebabkan ia menjadi insentif untuk melompat parti. Pada Mac 2021, BERSIH dan Institute for Democratic and Economic Affairs (IDEAS) telah menghasilkan satu kertas kajian mengenai CDF di Malaysia dan mencadangkan usul penambahbaikan. Apabial Ismail Sabri menandatangan MOU bersama PH, antara terma persetujuan adalah MP PH akan menerima peruntukan CDF yang sama seperti MP Kerajaan. Kami menggesa supaya ianya turut diberikan kepada bukan MP PH tetapi tidak disambut. Walau bagaimanapun kempen dan kritikan kami telah mengarusperdanakan konsep CDF yang saksama.
- Undang-Undang Antilompat/Pecat Dimasukkan Dalam MOU – BERSIH telah mengadvokasikan undang-undang antilompat/pecat agar diperkenalkan ke dalam sistem politik Malaysia sejak Langkah Sheraton pada 2020. BERSIH meminta Prof Wong Chin Huat untuk mengkaji sistem ini dan telah menghasilkan dua laporan kajian, iaitu “How to Deter Party Hopping di Malaysia? An Exploration of Remedies” (dikeluarkan pada 4 Januari 2021) dan “A Case for State-Level Recall Procedure Law to Remedy Party-Hopping in Malaysia” (dikeluarkan pada 29 Julai 2021). Kami melancarkan kempen dan melobi wakil rakyat daripada kedua-dua pihak untuk mengangkat undang-undang ini bagi mengekang lompat parti, dan perkara ini dimasukkan ke dalam MOU antara Kerajaan dan PH. Undang-undang ini diluluskan pada Ogos 2022.
- Pelaksanaan Undi 18 dan Pendaftaran Pengundi Secara Automatik (PPSA) –Pindaan perlembagaan untuk menurunkan umur mengundi ke 18 tahun (UNDI18) dan bersama dengannya PPSA telah dicapai pada Julai 2019. Walau bagaimanapun pelaksanannya ditangguh. Bersama pertubuhan masyarakat sivil yang lain, BERSIH mendesak untuk pelaksanaan UNDI18 dan PPSA dengan segera pada 2021. Pelaksanaannya dijanjikan dalam MOU dan akhirnya dipenuhi pada 15 Disember 2021. Kini semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan secara automatik serta boleh mengundi dalam pilihan raya hanya dengan menunjukkan kad pengenalan mereka.
Walaupun Laporan Tahunan ini hanya merangkumi tahun 2021, kami juga ingin memberi gambaran penuh pencapaian kami selama 32 bulan, daripada Januari 2020 sehingga 2022. Dalam 32 bulan ini, BERSIH telah:
- Mengeluarkan 19 laporan kajian berkenaan reformasi institusi yang didokong oleh kajian perbandingan dan cadangan.
- Mengeluarkan 165 kenyataan media, tidak termasuk terjemahannya.
- Mengadakan 118 libat urus pihak berkepentingan.
- Menganjurkan 103 acara umum.
- Menjalankan 23 kempen.
- Menjadi Pemerhati Pilihan Raya bertauliah oleh SPR sejak 2018 dan telah memantau 5 pilihan raya kecil Parlimen, 7 pilihan raya kecil negeri dan 4 pilihan raya umum negeri.
- Bantu mengutip RM3.3 juta untuk menolong komuniti rentan yang terkesan semasa PKP melalui inisiatif #MakanKongsi dengan kerjasama ENGAGE dan The Good Kitchen.
- Initiated #SuaraUntukSemua with Astro Awani, Sinar Harian and Sin Chew Daily in November 2021 to provide fair media access during state elections in Melaka, Sarawak and Johor. Memulakan #SuaraUntukSemua bersama Astro Awani, Sinar Harian dan Sin Chew Daily pada November 2021 untuk menyediakan akses media adil semasa PRN Melaka, Sarawak dan Johor.
- Memulakan pembentukan Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional (SCPP) bersama pertubuhan masyarakat sivil dan badan pemikir pada April 2021 bagi memprofesionalkan politik dan mereformasi parlimen.
- Mendesak pembentukan Kaukus Parlimen Bagi Demokrasi Pelbagai Parti pada Julai 2022 dan menjadi sekretariatnya.
- Mengadakan jelajah #KetuananPengundi di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang reformasi mustahak yang diperlukan oleh negara bagi mengembalikan ketuanan pengundi.
Kesemua ini mustahil dilakukan tanpa sokongan rakyat Malaysia, para penyumbang, rakan-rakan NGO, badan-badan pemikir dan organisasi media. Kami juga ingin berterima kasih kepada pasukan Sekretariat BERSIH yang dengan berdedikasi melaksanakan semua program dan aktiviti ini.
Untuk membaca Laporan Tahunan 2021 yang penuh, sila muat turun melalui laman web kami – www.bersih.org.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH