Walaupun UndiBanjir Namun Pengundi Perlu Keluar Mengundi Beramai-Ramai Untuk Keabsahan Parlimen Baharu

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyatakan kekesalan kepada Perdana Menteri yang telah memohon pembubaran awal Parlimen ke-14, di mana YDPA secara konvensyennya akan memperkenankan. SPR kini perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.

BERSIH menegaskan semula bahawa adalah tidak bertanggungjawab untuk merisikokan nyawa dan kehilangan harta benda dengan dakwa dakwi bagi mencapai kestabilan politik. Pihak berkuasa, termasuk SPR, mungkin terpaksa menangguhkan PRU15 di kawasan yang terjejas, dan sekiranya banyak kawasan yang terjejas, mungkin penangguhan di seluruh negara.

BERSIH memuji pendirian yang diambil enam kerajaan negeri yang mereka tidak akan membubarkan DUN kali ini sebagai konvensyen untuk mengutamakan usaha bantuan banjir. Negeri-negeri ini dikawal oleh Pakatan Harapan (PH) di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, serta Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dikawal oleh PAS. Enam negeri tersebut perlu berunding dan mengumumkan tarikh pembubaran yang sama antara 25 June (pembubaran automatik untuk Selangor) dan 1 Ogos (Pulau Pinang) bagi menetapkan konvensyen perlembagaan baharu bagi sesi dewan yang penuh dan mengelakkan rakyat berteka-teki bagi tarikh pilihan raya

BERSIH juga kesal PRU15 dipanggil sebelum Bajet 2023 diluluskan. Hal ini adalah satu penghinaan kepada Parlimen apabila “gula-gula” dalam bajet ditayangkan kepada orang ramai sebagai manisan pilihan raya parti Perdana Menteri walaupun Bajet ini tidak melalui perbahasan parlimen untuk diteliti merit dan kosnya.

Tambahan lagi, BERSIH bimbang parti manapun yang berkuasa nanti, mereka perlu membentangkan semula bajet ini, sama ada yang sama atau yang lain. Ini akan menjadi titik krisis yang mungkin menyebabkan kejatuhan kerajaan baharu sekiranya bajet tersebut tidak diundi oleh parti gabungannya.

Namun demikian, walaupun risiko banjir dan Bajet, BERSIH menyerus semua pengundi untuk keluar mengundi. Peratusan mengundi yang tinffi akan mengabsahkan Parlimen ke-15 di mana Ahli-Ahli Parlimen (MP) yang dipilih benar-benar mewakili majoriti pengundi, dan kerajaan baharu yang terbentuk diyakinkan bahawa majoriti pengundi menyokong mereka.

BERSIH menggesa SPR untuk segera membuka permohonan undi pos kepada semua rakyat Malaysia di luar negara dan memberikan hak undi tidak hadir kepada pengundi Malaysia Timur yang tinggal di Semenanjung, sebagaimana pengundi Malaysia Barat yang tinggal di wilayah Borneo. Langkah ini berpotensi memberikan hak kepada 2.5 juta pengundi.

Selain mengundi, rakyat juga perlu menuntut parti politik dan calon-calon untuk berazam mereformasi institusi bagi menstabilkan politik selepas PRU15, antara lain yang mustahak, reformasi Jabatan Peguam Negara dan pendanaan awam kepada parti politik.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH