Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyeru 21 juta pengundi untuk melaksanakan hak kita untuk mengundi dan menentukan masa depan sendiri daripada membenarkan orang lain memilih kerajaan yang mungkin bukan pilihan kita.
Walaupun ramai pihak termasuk BERSIH telah menggesa agar PRU15 tidak dijalankan semasa musim monsun, Perdana Menteri hasil desakan kepimpinan parti beliau telah membubarkan Parlimen pada 10 Oktober. Hal ini akan menyusahkan ramai pengundi terutama di kawasan banjir di seluruh negara dan merendahkan jumlah turun mengundi.
Sebagai rakyat, kita wajib menolak sebarang percubaan sesetengah ahli politik untuk memanipulasi, tidak menggalakkan dan memecahbelahkan. Kita perlu bangkit dan keluar menunjukkan aspirasi bagaimana bentuk negara yang kita mahukan. Langkah paling berkesan dan jitu adalah melalui peti undi. Rakyatlah penentu sebenar, “kingmaker” semasa pilihan raya.
BERSIH telah mengenalpasti lima fokus utama, sebahagiannya daripada Kempen Ketuanan Pengundi kami dalam setahun lepas, untuk rakyat mendesak SPR dan parti-parti politik yang akan bertanding menjadi kerajaan kita bagi lima tahun akan datang. Tuntutan tersebut adalah:
- JANGAN NAFI UNDI KAMI – Pelaksanaan Undi18, Pendaftaran Pemilih Secara Automatik dan hak undi pos untuk semua rakyat Malaysia di luar negara, SPR wajib menetapkan minimum 21 hari tempoh kempen agar undi pos dapat sampai pada hari pengundian. Jika tidak sia-sialah hak pengundi pos luar negara namun menafikan masa untuk mereka turut serta. Kami juga menggesa undi awal kepada pengundi luar kawasan terutamanya pengundi Sabah dan Sarawak yang bekerja dan belajar di Semenanjung serta pengundi Malaysia Barat di Sabah dan Sarawak.
- HENTIKAN PENDAKWAAN TERPILIH – Sebagai rakyat kita diberitahu untuk mematuhi undang-undang atau berdepan akibat yang buruk. Kita perlu menolak semua ahli politik atau parti yang melihat kuasa politik sebagai jalan untuk mengelakkan hukuman atau untuk membalas dendam terhadap musuh mereka. Bagi memastikan tiada campur tangan dalam proses kehakiman oleh kerajaan, peranan Pendakwa Raya perlu dipisahkan daripada Peguam Negara yang merupakan lantikan politik.
- MEMPERKASAKAN PARLIMEN – Tiada kerajaan yang dipilih dalam PRU15 mampu menjalankan polisi yang baik untuk menangani isu periuk nasi kita sekiranya undang-undang dan institusinya tidak diperkasakan untuk menuntut ketelusan dan akauntabiliti daripada kerajaan. Justeru reformasi parlimen seperti pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen serta pemerkasaan Jawatankuasa Pilihan Khas dan Ahli Parlimen Backbenchers serta Pembangkang melalui pindaan Peraturan Mesyuarat adalah mustahak. Rakyat wajib memilih parti dan gabungan yang jelas mempunyai iltizam dalam manifesto untuk melakukan reformasi institusi.
- TOLAK KORUPSI – Korupsi yang membarah dalam negara telah menjadi sebahagian budaya kita. Kita perlu hentikannya dengan memilih ahli politik yang bersih dan parti yang beriltizam mengambil langkah konkrit seperti meluluskan Akta Pembiayan Politik, pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Kebangsaan dan reformasi SPRM agar ia dapat menjadi badan bebas dan tidak digunakan sebagai senjata terhadap musuh politik.
- MENSTABILKAN POLITIK – Kita telah dibelenggu dengan ketidakstabilan politik yang tidak berpenghujung sejak Langkah Sheraton dan pilihan raya awal ini hanyalah penerusan terhadap ketidakstabilan tersebut. Kita perlu undang-undang dan peraturan yang boleh menstabilkan politik yang memberikan ketentuan yang lebih baik kepada polisi kerajaan dan tarikh pilihan raya. BERSIH mencadangkan Akta Parlimen Berpenggal Tetap supaya lebih kepastian kepada kita semua. Untuk mengembalikan Parlimen sebagai institusi yang menentukan pembentukan kerajaan yang lebih jelas, kami mencadangkan pindaan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat supaya mempunyai Undi Kepercayaan untuk mengesahkan bakal PM dan Undi Tidak Percaya Secara Konstruktif untuk mana-mana PM yang kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen. Mekanisme ini akan mengelakkan keruntuhan kerajaan melalui kenyataan penarikan sokongan yang samar-samar yang dilakukan di luar parlimen.
BERSIH akan melancarkan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan peratusan turun mengundi sebagai contoh kempen #UndiMasaDepan dengan video pendek dan poster bagi menggalakkan rakyat turun mengundi. Kami juga sedang merekrut Pemantau Pilihan Raya untuk memantau dan melaporkan kesalahan pilihan raya.
Sebagai usaha mengutip sumbangan PRU15, kami akan melancarkan buku pertama, Making Democracy Work – Institutional Reforms for Malaysia, dalam tempoh dua minggu lagi. Buku ini adalah kumpulan 16 laporan kajian yang kami hasilkan dalam tempoh dua tahun dan mempunyai cadangan penting bagi memperbaiki sistem politik kita yang sedang rosak.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH
#MalaysiaLayakLebihBaik
#KetuananPengundi
#HidupDemokrasi
#UndiMasaDepan
#UndiBanjir