Pemberian BKM Yang Dipercepatkan Adalah Pengaruh Tidak Wajar Daripada Kerajaan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) berpandangan bahawa pengumuman Perdana Menteri Sementara, Datuk Seri Ismail Sabri semalam (10 November 2022), untuk mempercepatkan pemberian Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 4 adalah satu bentuk pengaruh tidak wajar daripada kerajaan dan melanggar konvensyen amalan kerajaan sementara yang diamalkan di negara-negara lain.

Pemberian BKM Fasa 4 yang dijadual pada bulan Disember ini telah dipercepatkan pada 15 November dan dijangka selesai pada 18 November, sehari sebelum hari pengundian pada 19 November. Menurut Ismail Sabri, pemberian tersebut akan memanfaatkan 5.2 juta penerima dengan kos RM2.1 billion. Penerima BKM akan menerima bantuan sehingga RM900. Menurut beliau, keputusan ini dibuat untuk membantu penerima menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pertengahan November 2022. (1)

Walaupun tidak dinafikan bahawa rakyat dijangka akan berhadapan dengan MTL dan memerlukan bantuan sekiranya terjadi hujan lebat dan banjir, pengumuman tersebut boleh dianggap sebagai menggunakan sumber kerajaan untuk berkempen bagi Perdana Menteri Sementara atau parti/gabungan politik yang beliau wakili. Konvensyen amalan kerajaan sementara adalah konvensyen yang menggariskan pemisahan antara parti politik dan kerajaan, di mana kerajaan perlu mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk memastikan pemisahan tersebut berlaku bagi menjamin kempen pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.

Sekiranya wujud keperluan untuk mengumumkan peruntukan baharu atau mempercepatkan penyaluran peruntukan yang sedia ada, Perdana Menteri Sementara sebenarnya boleh berunding dengan Pembangkang bagi berbincang dan menerangkan keperluan penyaluran peruntukan tersebut. Proses tersebut adalah lebih telus dan inklusif serta benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya untuk kelebihan parti yang memerintah sebelum ini. Hal ini telahpun diamalkan di negara komanwel seperti Australia. (2)

BERSIH sekali lagi menggesa agar Kerajaan Sementara sama ada diperingkat Persekutuan mahupun Negeri untuk tidak menyalahgunakan sumber kerajaan bagi berkempen untuk kepentingan sendiri kerana hal yang demikian melanggar prinsip-prinsip dan etika pilihan raya yang bebas, bersih dan adil.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH

  1. https://www.pmo.gov.my/ms/2022/11/kenyataan-media-berkaitan-bantuan-keluarga-malaysia-bkm-fasa-4-disalurkan-bermula-15-november-2022-selasa-2/
  2. https://www.pmc.gov.au/sites/default/files/publications/guidance-caretaker-conventions-2021.pdf