Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) memuji manifesto PRU15 yang pro-demokrasi oleh empat gabungan terbesar politik: Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA). Walaupun tidak sepenuhnya komprehensif sebagaimana tuntutan BERSIH, namun janji untuk memperkasakan, mengembalikan keyakinan dan menyediakan ketelusan terhadap institusi awam adalah satu kemajuan yang dialu-alukan.
Secara khususnya, pemisahan fungsi pendakwa raya daripada Peguam Negara telah menjadi tuntutan utama oleh BERSIH dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) yang lain sejak sekian lama, bagi menghapuskan keraguan terhadap pendakwaan terpilih serta kekebalan daripada pendakwaan. Kami senang melihat kedua-dua PH dan BN secara khusus menjanjikan pemisahan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya, sementara janji GTA agak kabur dan PN tidak memberikan iltizam mereka terhadap isu ini.
Satu lagi “gamechanger” adalah janji memperkasakan Parlimen untuk meneliti pelantikan jawatan utama kerajaan seperti Peguam Neagra, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim, Pengerusi SPRM dan Gabenor Bank Negara. Ini adalah langkah baik daripada BN, PH dan GTA untuk memperkasakan peranan parlimen dan mengurangkan kuasa di tangan Eksekutif terutamanya Perdana Menteri. Sekali lagi, PN membisu terhadap reformasi ini.
Idea yang telah lama diperjuangkan oleh BERSIH dan CSO yang lain, khususnya Kumpulan Parlimen Rentas Parti (APPG) untuk Pembiayaan Politik – di mana BERSIH menjadi ahli – juga muncul dalam manifesto. Kesemua gabungan berjanji untuk memperkenalkan undang-undang pembiayaan politik, dengan tiga daripadanya (BN, PH dan GTA) mengkhususkan iltizam untuk menggubal Akta Pembiayaan Politik, sementara PN hanya berjanji untuk melarang sumbangan asing kepada parti politik.
Manifesto BN secara khusus menyatakan kesanggupan untuk mengkaji penurunan kuasa daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri bagi meningkatkan keefisienan dan memperkasakan semangat Federalisme. Walaupun butirannya tidak terperinci, kami mengalukan niat yang berjangka panjang untuk memencarkan kuasa daripada Putrajaya kepada Negeri, dan kami berharap pilihan raya kerajaan tempatan dapat dikembalikan secara beransur-ansur.
Manifesto PH layak untuk dipuji di atas kesanggupan mereka mengangkat reformasi yang lebih luas seperti menggubal Akta Penggal Tetap Parlimen, Akta Perkhidmatan Parlimen, jabatan khusus untuk belanjawan parlimen, dan menggubal had penggal Perdana Menteri dan Ketua Menteri.
Manifesto PH juga satu langkah kedepan dengan janji untuk melindungi kebebasan berekspresi dengan komitmen untuk menyemak dan menghapuskan Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Janji untuk mengembalikan Akta Kebebasan Maklumat dan untuk meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA) juga akan membantu ketelusan pentadbiran yang lebih baik serta membolehkan media untuk membuat laporan dengan lebih berkesan.
BERSIH yakin bahawa manifesto adalah dokumen polisi yang utama bagi menunjukkan visi parti atau gabungan untuk mentadbir negara. Pengundi perlu membuat keputusan berasaskan maklumat tentang setiap manifesto oleh gabungan politik.
BERSIH juga yakin bahawa manifesto adalah ruang penting untuk orang ramai menyertai dan menyumbangkan idea mereka terhadap wacana politik dan polisi. Dengan kemasukan beberapa reformasi yang pro-demokrasi oleh gabungan yang berbeza, BERSIH percaya ini adalah pengesahan terhadap usaha CSO yang berunding dengan penggubal undang-undang dan pemimpin utama dalam pelbagai gabungan untuk melobi pembaikan demokrasi pelbagai parti di negara kita.
BERSIH memuji pembuat manifesto yang mengutamakan kemasukan reformasi institusi dalam manifesto mereka. Ini adalah satu langkah ke arah yang betul terhadap “persaingan parti yang diprogramkan”, di mana gabungan-gabungan bersaing berdasarkan polisi dan program, bukan retorik kaum dan agama yang berbahaya. Reformasi institusi diperlukan untuk mencapai reformasi jangka panjang yang mapan serta menyediakan semak dan imbang yang berkesan terhadap demokrasi negara.
Akhirnya, BERSIH akan terus memainkan peranan kami untuk memastikan kebertanggunjawaban gabungan ini terhadap janji-janji reformasi mereka. Butiran lanjut manifesto pro-demokrasi mereka disertakan di ruangan lampiran.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH
Lampiran: Senarai reformasi institusi yang dicadangkan oleh empat gabungan utama PRU15
Reformasi Institusi | Pakatan Harapan (PH) | Barisan Nasional (BN) | Perikatan Nasional (PN) | Gerakan Tanah Air (GTA) |
Had penggal Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar selama 10 tahun | Ya | Tidak | Tidak | Tidak |
Pemisahan kuasa dan fungsi Peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara | Ya | Ya | Tidak | Sebahagian |
Reformasi proses pelantikan pegawai awam yang diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen | Ya | Ya | Tidak | Ya |
Akta Penggal Tetap Parlimen | Ya | Tidak | Tidak | Tidak |
Penubuhan Jabatan Belanjawan Parlimen | Ya | Tidak | Tidak | Tidak |
Akta Perkhidmatan Parlimen | Ya | Tidak | Tidak | Tidak |
Pengenalan Akta Pembiayaan Politik | Ya | Ya | Sebahagian (larangan sumbangan asing) | Ya |
Peruntukan Pembangunan Kawasan yang Saksama | Ya | Tidak | Tidak | Tidak |
Semakan sempadan pilihan raya dan persempadanan contohnya menyelesaikan gerimander dan pembahagian kawasan yang salah (malapportionement) | Ya | Tidak | Tidak | Sebahagian |
Undi tidak hadir untuk pengundi di luar kawasan terutamanya di orang Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung dan sebaliknya. | Ya | Tidak | Tidak | Tidak |
Menyemak dan menghapuskan Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 | Ya | Tidak | Tidak | Tidak |
Meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, Akta Rahsia Rasmi, dan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat | Ya | Tidak | Tidak | Tidak |
Menggubal Akta Perolehan Kerajaan dan merombak Proses Perolehan Pertahanan untuk melindungi daripada kebocoran dan korupsi | Ya | Tidak | Sebahagian | Tidak |
Empowering the Independent Police Conduct Commission (IPCC)
Memperkasakan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) |
Ya | Tidak | Tidak | Tidak |
Penuruan kuasa daripada persekutuan ke negeri | Sebahagian (terhad kepada Sabah dan Sarawak) | Ya | Sebahagian (pembayaran royalti) | Tidak |