Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) berbeza pandangan dengan seruan Yang di-Pertua Dewan (YDP) Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun supaya pimpinan parti menyerahkan akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen mereka yang akan memberikan sokongan kepada calon PM untuk membentuk kerajaan baharu.
YDP seharusnya sedar bahawa penggunaan SD bagi membentuk kerajaan telah berulang kali terbukti gagal dan menyumbang kepada ketidakstabilan dalam beberapa tahun ini.
Kerajaan berparlimen adalah kerajaan berasaskan program pentadbiran yang bersama, bukannya sekelompok Ahli Parlimen secara individu menyokong calon PM, sama ada demi jawatan atau tidak.
Tidak masuk akal pemimpin-pemimpin didesak untuk berunding sebelum semua Ahli Parlimen mereka diberi masa untuk mempertimbangkan dan didengari. Tidak perlu garis masa ditetapkan untuk proses yang penting ini.
Tujuan paling penting dalam proses ini adalah untuk memastikan kerajaan yang stabil serta mapan dapat dibentuk dan ini dapat dicapai melalui rundingan perjanjian antara parti yang teliti serta tidak wajar terburu-buru melalui sokongan SD.
Tandatangan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik di Parlimen oleh kerajaan Ismail Sabri bersama Pakatan Harapan (PH) pada September 2021 yang mengembalikan kestabilan politik perlu dicontohi dalam situasi sekarang dan masa yang mencukupi perlu diberikan untuk semua parti.
Pembentukan kerajaan adalah lebih baik dilakukan dengan perlahan dan berhati-hati daripada terburu-buru serta merisikokan negara kita dihantar ke kancah politik yang tidak berkesudahan untuk tahun-tahun yang akan datang.
Malaysia memerlukan kerajaan yang berfungsi untuk bangun daripada krisis ekonomi, alam sekitar dan endemik, yang tidak dibelenggu oleh pergaduhan dalaman antara rakan dalam kerajaan. Semua pihak perlu bertindak cermat dan bertanggungjawab untuk melindungi demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH