Jadikan PRU15 Halaman Baharu Untuk Demokrasi di Malaysia

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengucapkan tahniah kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 dan kami mengalu-alukan pembentukan kerajaan campuran yang diketuai oleh Pakatan Harapan (PH) dengan sokongan oleh BN serta blok Borneo. Pelantikan ini menoktahkan kebuntuan politik selama lima hari kerana parlimen tergantung selepas PRU15.

Parlimen tergantung selepas PRU15 menandakan kematangan dalam demokrasi di Malaysia di mana politik tidak lagi didominasi oleh satu atau dua gabungan tetapi di mana pengundi boleh memilih pelbagai pilihan dan gabungan pascapilihan raya berjaya dibentuk secara aman. Harapannya selepas ini parti-parti politik dapat bersederhana semasa kempen pilihan raya mereka kerana kemungkinan mereka akan menjadi rakan selepas pilihan raya.

BERSIH memuji pengumuman oleh Anwar bahawa agenda pertama kerajaan apabila Parlimen bersidang pada 19 Disember 2022 adalah pembentangan undi percaya bagi membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri. Kami percaya beliau akan mendapat sokongan rakan gabungan ketika itu. Persetujuan gabungan antara parti – bagi matlamat polisi yang dipersetujui dan mekanisme bagi isu-isu baharu dan diputuskan – perlu diumumkan, ditandatangan secara umum dan disahkan di Parlimen sebagaimana PM9 Ismail Sabri menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik bersama PH pada 2021.

Kami telah lama menggesa Undi Pengesahan Kepercayaan (Confirmatory Vote of Confidence – CVC) untuk diangkat menjadi sebahagian konvensyen parlimen bagi membuktikan sokongan kepada PM untuk menghilangkan sebarang keraguan terhadap keabsahan dan kekuatan kerajaan serta mengesahkan semula keputusan YDPA sebagaimana dalam Perkara 43(2)(a). Pembentukan kerajaan sangat mustahak untuk hanya dijalankan di bilik tertutup dengan akuan bersumpah yang sangat kabur kepada rakyat.

Anwar juga perlu ingat janji beliau untuk mengekalkan pentabiran yang nipis. Keperluan politik untuk melantik wakil-wakil daripada pelbagai Parti perlu dilaksanakan melalui pembentukan bilangan Jawatankuasa Pilihan yang sama bilangannya dengan jumlah kementerian atau lebih, dengan gaji yang setimpal tetapi tidak ada faedah lain untuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi.

Pilihan raya sudah tamat dan kerajaan telah dibentuk. BERSIH menggesa semua parti politik terutamanya Perikatan Nasional (PN), menerima keputusan PRU15 dan memainkan peranan mereka sebagai Pembangkang kepada kerajaan baharu. Kita memerlukan pembangkang yang dapat menyemak kerajaan Anwar dengan berkesan. Justeru, kerajaan diketuai PH perlu memperkasakan Parlimen dan menyediakan sumber yang mencukupi kepada jawatankuasa pilihan khas serta pembentukan kabinet bayangan.

BERSIH juga mengucapkan tahniah kepada hampir 15.5 juta atau 74% pengundi yang menyertai PRU15 walaupun hujan dan banjir disesetengah daerah. Gambar pengundi yang beratur dalam banjir diparas lutut untuk membuang undi mereka di Baram, Sarawak dan mobilisasi global rakyat Malaysia di seluruh dunia untuk membawa pulang kertas undi menunjukkan kesungguhan dan iltizam rakyat terhadap demokrasi negara.

Marilah kita kenang PRU15 sebagai pilihan raya di mana kita telah bertukar kepada demokrasi berbilang parti dan pilihan raya bukannya peperangan kalah-mati yang telah menyebabkan perpecahan dalam masyarakat. Kini masanya untuk pulih semula dan semua parti memainkan peranan bagi menjamin bahawa rakyatlah pemenang sejati dalam pilihan raya.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH