Tiada Kluster Mahkamah dalam Kabinet Baharu

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) bimbang mengenai sesetengah pihak dan individu yang mencadangkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu dipertimbangkan untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam kabinet PM Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

BERSIH menolak dengan tegas sebarang pelantikan wakil rakyat yang sedang menjalani pendakwaan jenayah ke sebarang jawatan Kabinet kerana hal yang demikian akan menjejaskan integriti kerajaan pimpinan Anwar dan mencemarkan reputasi negara kita.

Zahid masih dalam perbicaraan untuk pelbagai pendakwaan rasuah termasuk kes Yayasan Akalbudi walaupun beliau telah dibebaskan daripada tuduhan skim visa VLN oleh Mahkamah Tinggi pada 22 September 2022, namun pasukan pendakwaan telah mengemukakan rayuan untuk kes tersebut.

Wakil rakyat yang sedang menjalani kes rasuah seperti Lim Guan Eng, Syed Saddiq dan Bung Mokhtar, tidak boleh dilantik ke dalam Kabinet Malaysia sehingga kes mereka selesai sepenuhnya oleh mahkamah tanpa sebarang campur tangan Eksekutif melalui Jabatan Peguam Negara.

BERSIH berpandangan bahawa sehingga dan melainkan kedua-dua pihak pendakwaan dan kehakiman benar-benar bebas daripada pengaruh politik, ahli politik yang masih mempunyai kes mahkamah mengambil jawatan eksekutif adalah sangat tidak boleh diterima kerana sebarang pembebasan akan dilihat sebagai pemberian pengampunan kepada mereka yang di pihak Eksekutif, walaupun kes mereka secara meritnya layak dibebaskan. Hal ini akan merendahkan integriti kedua-dua AGC dan kehakiman.

BERSIH menggesa semua parti dalam kerajaan gabungan campuran ini untuk mengelakkan menamakan individu yang dalam kes mahkamah kepada PM untuk pertimbangan beliau dalam proses pembentukan Kabinet.

BERSIH menggesa semula desakan untuk mereformasi Jabatan Peguam Negara dengan memisahkan kuasa untuk mendakwa. Sebagai langkah segera, peranan pendakwaan perlu dipindahkan sementara Peguam Cara Negara, jawatan kedua yang tidak politik di Jabatan Peguam Negara, untuk mengambil pendirian neutral terhadap semua kes yang sedang berjalan, terutamanya melibatkan ahli politik. Pengurusan kes-kes ini tidak boleh dijadikan alat tawar-menawar untuk pembentukan kerajaan atau Kabinet.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH