Pelantikan Yang Dipersoalkan Menggariskan Reformasi Perlu Disegerakan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengalukan pengumuman  Kabinet baharu oleh PM Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kabinet tersebut mencerminkan komposisi “kerajaan perpaduan” namun masih mengekalkan janji pilihan raya untuk mengurangkan saiz Kabinet.

Namun kami kesal kerana Anwar telah melantik dirinya untuk memegang portfolio Kewangan yang mustahak, di mana ianya akan melemahkan semak dan imbang yang diperlukan bagi menjamin kita tidak kembali kepada zaman pentadbiran Najib Razak di mana PM sebagai Menteri Kewangan hampir membankrapkan negara melalui skim 1MDB

Kami juga kecewa kerana Ahmad Zahid Hamidi, yang sedang menjalan perbicaraan 47 pendakwaan rasuah telah dilantik menjadi TPM dan memengang jawatan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. Walaupun kami memahami politik disebalik pelantikan ini, ianya mengecewakan apabila prinsip telah dikebelakangkan.

Kedua-dua pelantikan yang dipersoalkan ini mengancam usaha dan komitmen Anwar untuk melawan korupsi.

Untuk mengunci kelayakan sebagai reformis, Anwar perlu menggandakan usaha untuk memenuhi janji manifesto PH untuk melawan rasuah dan mengukuhkan integriti institusi utama negara. Anwar dan kabinet baharunya perlu segera mengutamakan tiga tindakan berikut bagi menghapuskan sebarang keraguan campur tangan kes mahkamah dan konflik kepentingan:

  1. Menjadikan Peguam Cara Negara untuk mengambil peranan Pendakwa Raya dengan segera sehingga pindaan perlembagaan dibuat untuk memisahkan peranan tersebut daripada Peguam Negara.
  2. Melancarkan reformasi parlimen seperti pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen, mengukuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan memberi sumber kepada Pembangkang untuk membentuk Kabinet Bayangan.
  3. Mereformasi proses pelantikan dan pemecatan pegawai awam utama seperti Pengerusi SPRM, SPR dan Pesuruhjaya SUHAKAM. Proses ini perlu dibebaskan daripada eksekutif dan dimasukkan peranan Parlimen, masyarakat sivil dan pihak berkepentingan yang lain yang lebih bermakna.

BERSIH juga mengalukan pelantikan MP Pengerang Azalina Othman sebagai Menteri Undang-Undang. Kami mengharapkan beliau akan memacu reformasi yang dijanjikan di dalam kedua-dua manifesto PH dan BN, meneruskan pelbagai reformasi yang dimulakan oleh pendahulu beliau iaitu Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan mendiang VK Liew.

Kami juga gembira Azalina adalah antara lima wanita yang dicalonkan untuk menerajui kementerian utama seperti Pendidikan, Kesihatan, Belia dan Suka serta Wanita dan Keluarga. Walaupun Kabinet ini mempunyai perwakilan wanita sebagai Menteri paling ramai, ianya masih jauh daripada kesetaraan gender dalam Kabinet.

Dengan pembentukan Kabinet baharu, tugas mentadbir dan berkhidmat kepada rakyat bermula. Menjadi harapan kami dan harapan rakyat bahawa kestabilan politik akan wujud dan pentadbiran kali ini akan diberikan peluang untuk mentadbir sepenggal penuh dan semua parti, termasuk Pembangkang akan memainkan peranan konstruktif dalam pembentukan negara. Sebagai ahli masyarakat sivil, BERSIH akan terus menjadi suara non-partisan dan akan terus mendesak reformasi yang akan memperkukuhkan demokrasi negara.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH