Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) sekali lagi mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia khususnya para pemilih yang turun mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini. PRU ini yang menyaksikan tiada pihak yang mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan namun suasana demokrasi negara masih dihormati dengan pelantikan Perdana Menteri ke-10 berlaku dengan suasana aman.
Sepanjang tempoh PRU15, BERSIH telah menjalankan beberapa inisiatif bagi memastikan pilihan raya kali ini berjalan dengan bersih, adil dan bebas serta menggalakkan pemilih untuk keluar mengundi pada 19 November. Berikut adalah laporan ringkas inisiatif BERSIH:
- Pemantau PRU15
BERSIH telah membentuk tiga pasukan untuk memantau pilihan raya iaitu Pemantau Fizikal (Pemerhati Pilihan Raya), Pemantau Online (media sosial) dan Pemantau Media (laporan akhbar).
Seramai 100 orang Pemerhati telah berdaftar dengan BERSIH di bawah program pemerhatian pilihan raya berakreditasi oleh SPR iaitu program PEMERHATI. Pemerhati perlu menghadiri bengkel anjuran SPR dan juga menjalani latihan dalam di peringkat BERSIH, di mana kami menjalankan sekurang-kurangnya 3 latihan untuk kesalahan pilihan raya, proses pilihan raya dan peraturan umum apabila menjalankan pemerhatian pilihan raya. Semua Pemerhati diberikan buku panduan dan manual untuk rujukan.
Secara keseluruhannya, Pemerhati BERSIH berjaya memantau Hari Penamaan Calon, Hari Undi Awal, Persediaan Peti Undi dan Hari Pengundian di 57 Parlimen seluruh negara.
Selain itu, pemantauan online BERSIH juga memerhati parti-parti politik dan calon-calon melalyi platform online seperti Facebook, Twitter dan TikTok.
- Laman Web Pemantau
BERSIH juga telah melancarkan laman web Pemantau (www.pemantau.org) untuk memudahkan orang awam membuat laporan sekiranya mereka melihat kesalahan-kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh mana-mana pihak. Terdapat 10 kesalahan yang BERSIH fokuskan iaitu:
- Rasuah dan Beli Undi
- Penjamuan Makanan dan Pemberian
- Pengaruh Tidak Wajar Kerajaan
- Penggunaan Aset Kerajaan
- Perbelanjaan Berlebihan
- Intimidasi, Gangguan, dan Keganasan
- Kelakuan Berat Sebelah oleh Pegawai
- Undi Awal dan Undi Pos
- Masalah Hari Mengundi
- Pengundi Hantu dan Daftar Pemilih
Sebanyak 208 kesalahan yang telah dilaporkan dan 153 laporan telah disahkan sebagai kesalahan pilihan raya.
- Hotline Pilihan Raya dan GE15 Fact Checker & FAQ
BERSIH juga telah membuka hotline pilihan raya dan melancarkan GE15 Fact Checker&FAQ untuk membantu orang ramai sekiranya ada persoalan mengenai proses-proses atau isu-isu pilihan raya dan sebagai inisiatif kami melawan maklumat-maklumat yang tidak sahih. BERSIH telah menerima sebanyak 78 mesej Whatsapp, 193 panggilan telefon, 24 e-mel dan 28 mesej melalui Facebook berkenaan isu-isu pilihan raya. Antara isu yang paling kerap ditanya adalah mengenai undi pos, isu daftar pemilih yang digunakan dalam PRU15 dan isu kesalahan pilihan raya.
Berikutan maklumat yang salah (misinformation) terlampau banyak yang berlegar berkaitan proses pilihan raya, yang jika tidak ditangani akan memburukkan pilihan raya, BERSIH segera melancarkan GE15 Fact Checker & FAQ selepas pembubaran Parlimen. FAQ ini mengumpulkan soalan-soalan lazim dan menyediakan jawapan segera, manakala Fact Checker pula mengumpulkan maklumat salah dan menyediakan maklumat yang tepat dan sahih sebagai langkah balas. Semua maklumat ini disebarkan melalui Website Pemantau dan platform media sosial BERSIH, serta mesej-mesej ringkas di Whatsapp untuk sebaran segera.
Antara maklumat salah yang tular sebagai contoh adalah penggunaan mesin pembaca kad yang digunakan untuk menyemak IC bagi mencegah pengundi berbangsa Cina dan India mengundi; pengundi perlu mematuhi etika pemakaian yang ketat pada hari pengundian; pengundi perlu mematuhi masa mengundi yang digalakkan jika tidak akan dihalang daripada mengundi, dan pelbagai lagi maklumat yang salah.
- Kempen #VoteFuture
BERSIH bimbang kadar keluar mengundi pada PRU15 memandangkan peratusan keluar mengundi di PRN Melaka dan Johor, serta digabungkan dengan fakta bahawa terdapat pertambahan sebanyak 6.2 juta pengundi baru dalam PRU15. Justeru, BERSIH melancarkan kempen #VoteFuture untuk menggalakkan rakyat keluar mengundi 10 hari sebelum hari pengundian iaitu pada 19 November 2022.
Kempen ini menggunakan konsep “Masa Depan” untuk memberi inspirasi kepada Rakyat keluar mengundi. Kami menggunakan cogan kata seperti “Saya pilih masa depan saya sendiri”, “Undiku, Masa Depanku”, “Saya tidak akan memperjudikan Masa Depan saya”, dan “Masa depanku dalam tanganku”.
Kempen #VoteFuture ini adalah satu kerjasama antara BERSIH dan The Fourth Media. Kami telah menghasilkan video-video untuk mengajak orang ramai turun mengundi dengan kerjasama individu pempengaruh (influencer), golongan OKU, dan aktivis-aktivis sosial daripada Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Kami telah berkolaborasi dengan sebuah syarikat penerbitan iaitu The Fourth untuk menghasilkan beberapa video. Video-video ini melibatkan rakyat Malaysia daripada semua latar belakang yang bercakap mengenai “Undi untuk Masa Depan kita”. Video ini dibina melalui galakan yang positif untuk menggalakkan Rakyat keluar mengundi. Video-video ini dikeluarkan pada 9 November 2022 dan setiap hari berikutnya sehinggalah hari pengundian di pelbagai platform media sosial. Video ini telah ditonton melalui laman media sosial BERSIH oleh sebanyak 75,000 orang. Video-video ini juga telah disebarkan melalui beberapa pempengaruh seperti Jinnyboy (238,000 tontonan) dan Nailah Huda (51,000 tontonan).
Selain video, kempen VoteFuture juga telah mengeluarkan poster dengan visual yang kuat setiap hari. kami telah menyediakan kit kempen untuk orang ramai memuat turun bahan-bahan kempen atau membuatnya sendiri. Kempen ini adalah kempen di mana sesiapa sahaja boleh sertai di mana-mana pun. Kami juga telah berkolaborasi dengan AWAM untuk menghasilan beberapa isi podcast.
Akhirnya, kadar pengundian pada PRU15 menurut SPR adalah 73.89% (tidak termasuk PRK Padang Serai dan Tioman), dengan jumlah 15.5 juta pemilih telah mengundi.
- Hall of Shame
BERSIH juga meneruskan Hall of Shame daripada PRU14 yang lepas untuk memaparkan kesalahan pilihan raya yang paling teruk dilakukan sepanjang tempoh pilihan raya.
- Pelancaran Buku Making Democracy Work: Institutional Reforms for Malaysia
Tepat semasa PRU15 bermula, BERSIH melancarkan buku kami bertajuk Making Democracy Work : Institutional Reforms for Malaysia pada 6 November 2022. Ini ada versi mudah makalah kajian yang mencadangkan pelbagai penambahbaikan untuk institusi negara. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, “Kepemimpinan pemikiran oleh BERSIH dalam reformasi institusi adalah sebahagian daripada tranformasi politik yang lebih besar yang telah mengambil alih sejak 2018”, dan inilah bukunya yang mengandungi kajian-kajian dan perbahasan-perbahasan.
Untuk melaksanakan inisiatif dan menampung sebahagian perbelanjaan, BERSIH meminta sumbangan orang ramai melalui kenyataan media bertarikh 29/10/2922 dan kami mensasarkan RM100,000. Kami sukacitanya mengumumkan bahawa sehingga 29/11/2022, sebanyak RM163,125.00 (sumbangan awam dan jualan buku solidariti) telah berjaya dikutip. secara keseluruhannya, kami telah membelanjakan RM60,288.00 untuk token penghargaan kepada semua sukarelawan, pereka grafik, bayaran pembangunan laman web, iklan media sosial, peralatan audio, dan kempen VoteFuture.
Setiap sen yang kami terima dan belanjakan akan dilaporkan dalam laporan PRU15 yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat. Baki sumbangan yang tidak digunakan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk advokasi kami pada masa hadapan dan juga untuk kos-kos operasi.
BERSIH sekali lagi mengucapkan setinggi penghargaan kepada rakyat Malaysia yang membantu, menyokong dan menyumbang kepada BERSIH, yang membolehkan kami menggerakkan mandat kami untuk mendesak pilihan raya bersih dan adil serta memperkasakan institusi.
Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua NGO, terutamanya UNDI18 dan Global Bersih serta inisiatif Vote Malaysia yang telah bekerja keras untuk memastikan kertas-kertas undi pos luar negara dapat sampai ke tanah air pada masanya untuk dikira.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH