Perjanjian Persefahaman Kerjasama Duluan Yang Baik Namun Parlimen Perlu Tetap Diperkasakan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) meraikan Perjanjian Persefahaman Kerjasama sebagai duluan (precedent) yang segar untuk menstabilkan politik dalam keadaan parlimen tergantung tetapi sedar bahawa beberapa niat perjanjian tersebut berpotensi melemahkan Parlimen.

Kerajaan oleh Parti

BERSIH menekankan bahawa dua kerajaan sebelum ini di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri adalah ‘kerajaan dibentuk oleh Ahli Parlimen (MP) secara individu’ dan bukannya ‘kerajaan gabungan dibentuk antara parti’, justeru tidak dapat bertahan daripada tekanan oleh rakan dalam gabungan kerajaan. ‘Kerajaan Perpaduan Malaysia’ yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mungin boleh melepasi perangkap ini dan berkhidmat sepenggal penuh selama lima tahun.

Tiga puluh tiga bulan kemelut politik sejak Langkah Sheraton adalah disebabkan oleh kelemahan amalan menganggap kerajaan sebagai pengumpulan ahli parlimen secara ad-hoc, yang tidak tertakluk oleh program kerajaan yang kohesif yang ditetapkan oleh parti-parti tetapi oleh sokongan ahli parlimen secara peribadi kepada calon Perdana Menteri, dan bahkan perundingan dalam kabinet, jawatan GLC atau pelepasan daripada kes Mhakamah, semuanya dibolehkan oleh kelemahan melalui amalan ‘membentuk kerajaan melalui Akuan Bersumpah’ yang diperkenalkan sejak 2009.

Pembentukan kerajaan melalui rundingan parti dan menjadikan perjanjian kerjasama secara umum adalah dua daripada 10 cadangan yang diusulkan oleh BERSIH pada 19 November bagi menstabilkan politik pasca-PRU15. BERSIH senang bahawa kerajaan baharu ini mengambil langkah ke arah yang betul.

Walaubagaimanapun kami khuatir perjanjian persefahaman kerjasama ini membungkam kebebasan nurani MP untuk mengundi dan berpendirian bahawa sebarang kompromi yang dibuat perlu dihadkan kepada keperluan untuk tidak menatijahkan penguasaan eksekutif secara berbahaya dalam usaha kita untuk keluar daripada ketidakstabilan politik dan ketidakbertanggungjawaban.

Sokongan Parti untuk Keyakinan dan Perbekalan

Bagi mencegah undi sokongan dan perbekalan dijadikan alternatif untuk “Lelongan SD”, BERSIH boleh menerima di peringkat demokratisasi Malaysia sekarang bahawa keputusan pengundian dibuat secara parti.

BERSIH walaubagaimanapun menolak tafsiran bahawa Perjanjian tersebut secara sendiri boleh menyebabkan semua 144 MP daripada blok kerajaan (PH, BN, GPS, GRS dan Warisan) boleh menghadap pilihan raya kecil (PRK).

Perkara 4(a) Perjanjian Persefahaman Kerjasama hanya menyatakan niatnya bahawa semua lima parti tersebut perlu menyokong Perdana Menteri untuk hal-hal keyakinan, perbekalan atau prosedur lain yang secara perlembagaan memberi kesan kepada keabsahan kerajaan.

Perkara 4(b) menyatakan niat bahawa parti-parti perlu memastikan semua MP mereka yang gagal, enggan atau cuai untuk mengundi sedemikian akan diambil kira sebagai meletakkan jawatan atau berhenti menjadi ahli parti yang akan menyebabkan kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Niat tersebut hanya menjadi realiti sekiranya perlembagaan parti memperuntukkan untuk kegagalan, keengganan dan kecuaian dalam undian keyakinan dan perbekalan sebagai asas ahli parlimen terhenti menjadi ahli parti, sebagaimana dalam kes Amanah dan DAP. Alternatifnya, parti-parti perlu mempunyai instrumen lain yang mengikat secara undang-undang untuk menyebabkan kesan yang sama.

BERSIH sangat khuatir dengan Perkara 4(d) yang menyatakan “Parti-Parti dan pihakpihak kepada Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini mempunyai prerogatif tunggal dalam memastikan ahli Dewan Rakyat masing-masing mengundi segala usul, terutamanya berkenaan kepercayaan dan bekalan Kerajaan Perpaduan Malaysia ini berdasarkan arahan Parti masing-masing”. menekankan “semua usul” dan bukan sekadar perkara keyakinan dan perbekalan mengancam untuk menyingkirkan semua autonomi ahli parlimen dalam pengundian. Dengan kerajaan majoriti dua pertiga, ini akan menjadi cek kosong kepada pindaan perlembagaan

BERSIH menggesa semua parti yang berniat meminda perlembagaan parti mereka untuk menghadkan kebebasan pengundian ahli parlimen kepada perkara keyakinan dan perbekalan sahaja.

Perlu dinyatakan bahawa pemeliharaan kebebasan pengundian oleh ahli parlimen, sekiranya kerajaan tewas dalam RUU dan bahkan RUU Perlembagaan TIDAK BOLEH DILIHAT sebagai penyataan ketidakpercayaan kepada kerajaan.

Jawatankuasa Parlimen

BERSIH senang untuk mengetahui bahawa Perkara 3(b), setiap portfolio kementerian akan diteliti dan disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP).

Kerajaan mesti membuat komitmen yang jelas untuk mempunyai satu JPKP bagi setiap portfolio kementerian. Kelemahan amalan satu JPKP untuk pelbagai kementerian tidak boleh diulangi kembali. Contoh paling teruk, empat kementerian (Kerja Awam, Pengangkutan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan) ditugaskan kepada satu JPKP (Infrastruktur dan Pembangunan) menjadikan pantauan jawatankuasa sia-sia.

BERSIH juga khuatir dengan niat yang dinyatakan dalam perkara 3(d) dan 3(e) bahawa pengerusi JPKP, disekalikan dengan keahlian Kabinet, akan dibahagikan “berkadar dengan jumlah Ahli Parlimen setiap Parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia” dan sebarang perubahan dalam pembahagian akan dibincangkan bersama Perdana Menteri dan ketua-ketua parti.

Perkara ini menunjukkan kerajaan akan menggunakan majoriti dua pertiga mereka untuk memonopoli semua jawatan pengerusi JPKP, dan Jawatankuasa Pilihan dan Dewan dengan perwakilan dalam pembahagian keahlian dan kepimpinan jawatankuasa akan dipintas sepenuhnya. Perkara ini adalah tindakan kebelakang daripada amalan semasa Mahathir, Muhyiddin dan Ismail apabila ada beberapa jawatan pengerusi diberikan kepada ahli pembangkang.

BERSIH menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalinan Othman Said untuk memastikan amalan terbaik dilaksanakan seperti berikut:

  1. Keahlian jawatankuasa dibahagikan merentasi gabungan parti berdasarkan bilangan MP persendirian (yang bukan menteri, Speaker atau Timbalan Speaker), dan bukan semua MP. Pembahagian berdasarkan bilangan semua MP secara tidak adil lebih mewakili parti yang mempunyai ramai menteri.
  2. Keahlian jawatankuasa perlu dibahagikan dengan mengambil kira minat dan kepakaran MP, bukan secara semberono ditugaskan oleh ketua parti.
  3. Pengerusi jawatankuasa perlu diberikan kepada parti berdasarkan kadar MP persendirian.
  4. Pengerusi dan timbalan pengerusi perlu daripada pihak politik yang berseberangan, satu daripada kerajaan dan satu daripada pembangkang untuk memastikan semak dan imbang di dalam jawatankuasa.
  5. Semua pengerusi dan timbalan pengerusi jawatankuasa perlu dibayar dengan elaun tambahan kerana Jawatankuasa perlu bergerak sepanjang tahun, walaupun apabila Parlimen ditangguhkan.

BERSIH berharap untuk bertemu dengan PM Anwar dan Menteri Azalina serta Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk membincangkan lebih lanjut pengukuhan demokrasi pelbagai parti dan parlimen.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH