Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengalu-alukan pengumuman barisan Kabinet Bayangan oleh Perikatan Nasional (PN). BERSIH mengucapkan tahniah kepada Ketua Ahli Parlimen Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pembangkang Dato Seri Hamzah Zainuddin serta barisan kabinet bayangannya. Tindakan membentuk sebuah kabinet bayangan adalah satu langkah ke hadapan bagi memperkasa Dewan Rakyat dan demokrasi di Malaysia.
BERSIH berharap dengan pembentukan kabinet bayangan ini, barisan Pembangkang akan lebih kukuh dan tersusun dalam melakukan semak dan imbang kepada kerajaan serta menghasilkan polisi alternatif berdasarkan fakta, data dan idea.
Persaingan yang profesional dan matang, bukan permusuhan dan saling memperlekehkan antara Kerajaan dan Pembangkang diperlukan untuk mencapai Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan yang diperjuangkan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau dengan gagasan Malaysia Madani.
BERSIH berharap YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut menyambut pembentukan kabinet bayangan ini dengan positif dan mengambil kesempatan ini untuk memperkukuhkan kestabilan politik, menghapuskan kebimbangan tentang Langkah Sheraton 2.0, dan merealisasikan Malaysia Madani. Pada masa yang sama, Kabinet Bayangan PN diharap akan membuat kunjungan hormat kepada Kabinet sebelum Parlimen bersidang sebagai tanda permulaan persaingan antara-parti yang madani.
Kerajaan Perpaduan yang memposisikan dirinya sebagai Reformis harus mengiktiraf pembentukan kabinet bayangan ini secara rasmi di Parlimen dengan sebuah undang-undang yang menggariskan fungsi, hak dan kemudahan untuk Kabinet Bayangan, supaya ia dapat melakukan semak dan imbang yang mantap dan profesional, bukan emosional dan populis, terhadap kerajaan.
Pengiktirafan Kabinet Bayangan seharusnya merangkumi:
- Majlis angkat sumpah untuk menteri-menteri bayangan di Istana Negara sebagai Pembangkang Setia YDPA;
- Elaun kepada menteri bayangan iaitu satu pertiga daripada gaji menteri, mencontohi sistem di Australia;
- Peruntukan seorang pegawai penyelidik yang bergaji untuk setiap menteri bayangan dengan kelulusan yang berkaitan dengan portforlio menteri bayangan;
- Akses maklumat kerajaan yang bersesuaian kepada kabinet dan menteri-menteri bayangan untuk penghasilan polisi yang realistik
- Penambahbaikan struktur penentuan jadual dan urusan aturan mesyuarat di Dewan Rakyat melalui perundingan bersama Ketua Pembangkang atau wakil daripada kabinet bayangan
BERSIH berharap dengan pembentukan dan pengiktirafan rasmi kabinet bayangan, mutu perbahasan dan pemantauan di Parlimen dan persaingan dasar secara amnya antara Kerajaan dan Pembangkang akan dipertingkatkan dan memanfaatkan rakyat yang sudah muak dengan perbalahan antara politik yang tidak profesional dan toksik.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH