Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengingatkan semua rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sabah, bahawa kemelut politik di Sabah tidak akan berhenti dengan tindakan tiga ADUN pembangkang yang keluar Parti Warisan (Warisan) dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
BERSIH berpandangan bahawa masalah pokok lompat parti yang berleluasa di Sabah adalah fungsi utama ADUN sebagai ‘mesin ATM berbentuk manusia’ dan ini hanya boleh diselesaikan dengan pakej institusi reformasi 3-dalam-1: (1) Ordinan Antilompatan dan Ordinan Penggal Tetap DUN Sabah, (2) Ordinan Peruntukan Pembangunan Kawasan Saksama; dan (3) reformasi DUN Sabah.
Dalam keadaan sekarang, ADUN yang bukan menteri tidak ada peranan sebenar sebagai penggubal undang-undang atau pembentuk dasar, dan mereka banyak bergantung kepada peruntukan kawasan bagi pembangunan dan kebajikan untuk berkhidmat dan mengambil hati pengundi.
Oleh kerana menteri diberi peruntukan kawasan yang jauh lebih banyak daripada ADUN kerajaan barisan belakang (government backbenchers) dan ADUN pembangkang tidak diberi sebarang peruntukan, ini menjadi insentif untuk ADUN pembangkang melompat ke kem kerajaan, atau ADUN kerajaan barisan belakang malah menteri untuk menjatuhkan kerajaan sendiri dengan harapan menjadi menteri atau memegang portfolio menteri yang lebih bersumber.
Ramai pengundi sebenarnya tidak kisah wakil rakyat melompat parti selagi wakil rakyat dapat membawa balik lebih banyak peruntukan dan imbuhan – dinamakan pembangunan dan kebajikan – ke kawasan. Ini dibuktikan oleh kemenangan 11 daripada 17 ADUN yang telah melompat parti antara Mei 2018 dan Julai 2020 di kawasan yang sama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September 2020.
Ini bermaksud sekadar penggubalan Ordinan Antilompatan versi Persekutuan di peringkat Negeri tidak cukup untuk mengelakkan atau mencegah lompatan parti atau perubahan gabungan.
Dengan lompatan YB Mohammad Mohamarin (N1 Banggi), YB Chong Chen Bin (N4 Tanjong Kapor) dan YB Norazlinah Arif (N63 Kunak), Warisan telah hilang sebanyak 9 daripada 23, atau hampir 40%, yang dimenanginya dalam PRN 2020. Alasan melompat ketiga-tiga ADUN tersebut ialah supaya dapat meneruskan khidmat yang lebih baik kepada rakyat di kawasan mereka dan menghentikan polemik politik yang menggugat kestabilan kerajaan.
Lompatan ini tidak menghairankan selepas kegagalan Warisan dan UMNO menggulingkan kerajaan pimpinan Hajiji yang tidak lain tidak bukan hanya untuk merebut jawatan-jawatan dan sumber-sumber kerajaan.
BERSIH berpandangan bahawa reformasi institusi di Sabah tidak boleh ditangguhkan lagi dan perlu dilaksanakan dengan segera untuk menghentikan kemelut politik. Ini memerlukan pakej reformasi institusi 3-dalam-1 yang perlu tekad politik untuk berdamai dan memadanikan negara daripada semua parti utama di DUN Sabah yang juga merupakan rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan di Persekutuan:
- Penggubalan Undang-Undang Antilompat Parti dan Ordinan Penggal Tetap DUN (Fixed-term Legislature Ordinance – FLTO)
- Undang-undang antilompat parti yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan perlu diluluskan, tetapi dengan penambahbaikan dan bukan sebulat-bulatnya. ADUN yang melompat (ke parti lain atau menjadi bebas) akan hilang kerusi secara automatik, dan satu klausa lagi perlu ditambah ke dalam mekanisme antilompat iaitu ADUN yang tidak memberi sokongan kepada usul keyakinan dan perbekalan (Rang Undang-undang belanjawan) pun akan hilang kerusi secara automatik.
- Prosedur Pilihan Raya Pecat (Recall) perlu dimasukkan ke dalam undang-undang antilompat untuk bagi menangani isu pemecatan atas alasan selain usul keyakinan dan perbekalan, lompatan gabungan dan asas-asas lain yang munasabah untuk pengundi memecat wakil rakyat dan mencetuskan Pilihan Raya Kecil (PRK).
- Mentakrifkan definisi hilang kepercayaan di Dewan dengan ketat melalui Ordinan Penggal Tetap DUN yang akan mengkehendaki DUN untuk melengkapkan penggalnya kecuali jika kerajaan kehilangan keyakinan atau jika pemohonan untuk pembubaran awal mendapat persetujuan 2/3 Dewan.
- Ordinan Peruntukan Pembangunan Kawasan Saksama agar peruntukan kepada ADUN diberikan secara saksama
Dalam Belanjawan Sabah 2023, setiap ADUN Kerajaan mendapat RM3 juta setahun manakala ADUN Pembangkang tidak mendapat apa-apa. Amalan yang tidak demokratik adalah pendorong kepada lompat parti yang paling besar dan mesti dihentikan. Dengan Ordinan Peruntukan Pembangunan Kawasan Saksama, semua wakil rakyat akan mendapat peruntukan pembangunan kawasan yang ditetapkan tanpa diskriminasi kepartian, dan pemberian peruntukan akan lebih telus dan berakauntabiliti.
- Reformasi badan perundangan negeri untuk memperkasa ADUN
Rakyat cenderung melihat ADUN sebagai mesin ATM untuk mereka mendapatkan bantuan semata-mata kerana ADUN bukan menteri – kedua-dua ADUN pembangkang dan ADUN kerajaan barisan belakang – tidak ada impak dalam mencorak kandungan Rang Undang-undang atau dasar kerajaan. Untuk mengubah dinamik ini, DUN perlu menubuhkan jawatankuasa-jawatan pilihan khas DUN, menambahkan bilangan hari mesyuarat DUN dan memperuntukkan masa khas untuk ADUN-ADUN bukan menteri agar mereka boleh memberi semak dan imbang kepada Kerajaan.
ADUN Sabah perlu menyokong dan mendesak agar Kerajaan Sabah melaksanakan reformasi yang dinyatakan dengan segera agar demokrasi dan institusinya dapat berjalan dengan lebih profesional dan pro-rakyat berbanding hanya perebutan kuasa dan pengaruh antara Kerajaan dan Pembangkang.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH