KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengesyorkan Akta Penggal Tetap wajar dipertimbangkan untuk digubal bagi memperkukuhkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan di negara ini.
Gerakan itu berkata, akta itu tidak akan menafikan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang mana ia digubal tanpa menggugat kuasa budi bicara mutlak baginda.
Katanya, tidak timbul isu Yang di-Pertuan Agong (YDPA) memperkenankan atau tidak memperkenankan pemohonan pembubaran awal oleh Perdana Menteri walaupun wujud akta berkenaan.
“Hal ini kerana Malaysia mempunyai perlembagaan bertulis, berbeza dengan United Kingdom yang tiada perlembagaan bertulis.
“Maka selari dengan Perkara 40(2) di bawah Perlembagaan Persekutuan, sebuah Akta Penggal Tetap boleh digubal dengan menetapkan bahawa Dewan Rakyat akan terbubar selepas genapnya lima tahun daripada tarikh Ahli Parlimen mengangkat sumpah.
“Namun, pengecualian jika pemohonan untuk pembubaran awal boleh dibuat – atas dua syarat yang ketat iaitu kerajaan kehilangan kepercayaan Parlimen dan kedua sekurang-kurangnya 148 orang Ahli Dewan Rakyat mengusulkan pemohonan itu dan seterusnya diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 40(2),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Minggu lalu, dalam persidangan Dewan Rakyat, seorang Ahli Parlimen mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan sistem penggal tetap Parlimen bagi memastikan sesebuah kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya dapat mengekalkan mandat rakyat selama lima tahun.
Cadangan dikemukakan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menegaskan perkara itu dapat memastikan tata kelola negara jelas tanpa gangguan dan membendung ketidakstabilan politik sepanjang tempoh itu selain disokong amalan semak imbang oleh pihak pembangkang.
BERSIH menegaskan tidak bersetuju usul itu akan nafikan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong seperti dikatakan pakar perlemnbagaan , Prof Dr Shamrahayu Aziz.
“Akta Penggal Tetap yang diutarakan Dr Dzulkefly sebagai sebahagian daripada usaha reformasi institusi Parlimen. Kami bersetuju dengan Dr Shamrahayu ini satu perkembangan yang baik untuk Parlimen membahaskan perkara ini bersungguh-sungguh.
“Ini bererti bahawa Akta Penggal Tetap langsung tidak menyentuh malah mengekalkan kuasa budi bicara Agong untuk memperkenankan pemohonan Perdana Menteri atau tidak.
“Tujuan Akta Penggal Tetap adalah menghentikan duluan sesetengah ahli politik daripada sesuka hati memohon pembubaran awal kerana kemabukan kuasa,” katanya.
Lebih penting lagi, tegas gerakan itu, Akta Penggal Tetap sebenarnya melindungi Yang di-Pertuan Agong dilibatkan dalam kancah politik.
“Permainan ahli politik yang licik percaturannya membawa risiko kepada Raja Berperlembagaan kerana cenderung mengheret pihak istana untuk membuat keputusan politik yang mungkin menimbulkan prasangka rakyat.
“Tuanku sendiri bertitah ketika merasmikan pembukaan penggal Parlimen Ke-15 minggu lalu bahawa baginda tidak berniat
untuk mencampuri urusan politik negara, apatah lagi untuk mengatur percaturan lanskap politik tanah air,” katanya.
Menurutnya demi memenuhi hasrat Tuanku supaya pihak istana tidak lagi diheret sewenang-wenangnya oleh ahli politik untuk mencampuri urusan atau mencatur lanskap politik negara, Akta Penggal Tetap wajar dipertimbangkan.