Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) maklum dan kesal apabila Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak langsung menyatakan bahawa peruntukan pembangunan Kawasan (CDF) akan diberikan kepada Ahli Parlimen (MP) pembangkang dalam ucapan Belanjawan kerajaan semalam. Perkara ini adalah dikesali kerana PM telah terlepas peluang untuk menunjukkan sisi reformisnya dan bagaimana Malaysia Madani akan dilihat. Kerajaan dan Pembangkang perlu duduk bersama dan berunding untuk membawa undang-undang yang akan memastikan peruntukan yang saksama.
Perikatan Nasional (PN) dengan 74 MP mewakili 4,666,529 pengundi atau 30 peratus daripada jumlah pengundi dalam PRU15. Menahan peruntukan CDF ini adalah tidak menghormati pilihan dan hak pengundi untuk mengundi siapa yang mereka ingin mewakili mereka. CDF diperlukan oleh MP untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan mereka dengan lebih baik dengan menampung sebarang keperluan pembangunan yang tidak termasuk dalam program kerajaan persekutuan atau negeri. CDF juga melingkupi sedikit peruntukan untuk kos pengoperasian pusat khidmat rakyat.
Berdasarkan apa yang diberikan kepada 148 MP yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan, iaitu RM1.3 juta setahun, kos yang bertambah hanyalah RM96.2 juta atau hanya 0.024 peratus daripada RM386 billion belanjawan. Ini hanyalah secubit daripada belanjawan berbanding manfaat yang akan melimpah kepada rakyat.
CDF telah lama digunakan oleh kerajaan sebagai alat politik untuk menghukum Pembangkang dan ‘membulurkan’ mereka daripada peruntukan yang diperlukan dengan tujuan rakyat akan menolak wakil rakyat Pembangkang. Peruntukan CDF di kawasan pembangkang sebaliknya disalurkan kepada penyelaras yang tidak dipilih oleh rakyat daripada parti kerajaan (biasanya bakal calon untuk pilihan Raya akan datang) bagi meraih sokongan.
Taktik sebegini telah digunakan sebelum ini untuk menggoda wakil rakyat Pembangkang melompat dan penjajaran semula parti-parti sebagaimana yang kita lihat pasca kejatuhan BN selepas 9 Mei 2018, sehinggalah tandatangan MOU antara kerajaan Ismail Sabri dan PH pada 13 September 20121. Malah keadaan ini masih berterusan di Sabah. Siapapun yang benar-benar membenci Langkah Sheraton, mereka sepatutnya membenci diskriminasi peruntukan CDF terhadap Pembangkang, bukan menjerit ketika menjadi mangsa tetapi kemudiannya melakukan perkara yang sama apabila berkuasa.
Taktik ‘membulurkan’ Pembangkang tidak berkesan setiap masa kerana PH tetap cemerlang sebagai Pembangkang dulu malah memenangi PRU14 tanpa sebarang peruntukan CDF. Taktik lapuk ini malah berkemungkinan memakan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya negeri yang akan datang. Kami berharap kerajaan Anwar lebih berhikmah untuk tidak meneruskan amalan yang keji, tidak demokratik dan pendek akal ini. Janji manifesto PH pada tahun 2022 untuk memberikan peruntukan CDF yang saksama kepada semua MP perlu dihormati dalam semangat Malaysia Madani.
Oleh sebab kebanyakan parti di Parlimen, sama ada PH, BN, GPS, Warisan yang berada di pihak Kerajaan, atau PN sebagai Pembangkang – telah pernah menjadi mangsa dan pemangsa, sudah tiba masanya rundingan damai merentasi parti politik bagi menetapkan peraturan persaingan yang adil antara kerajaan dan pembangkang, agar sama ada kerajaan atau pembangkang tidak dinafikan dengan cara tidak demokratik. Undang-undang yang memperincikan CDF kepada setiap MP berdasarkan rumus yang saksama perlu menggantikan amalan berasaskan budi bicara Perdana Menteri.
Sekiranya Perdana Menteri Awnar Ibrahim tidak mengambil langkah mula, Ketua Pembangkang Dato’ Seri Hamzah Zainuddin perlu menyediakan RUU Persendirian bagi peruntukan CDF yang saksama – dengan menjemput pertubuhan masyarakat sivil, ahli akademik dan pihak berkepentingan yang lain untuk memberikan dapatan – serta meminta berlaku mesyuarat bersama kabinet Kerajaan Perpaduan dan Kabinet Bayangan beliau. PN yang meneruskan amalan tidak demokratik pada Mac 2020-Ogos 2021 juga mempunyai tanggungjawab moral untuk membuktikan bahawa kini mereka bertekad untuk keadilan.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemand BERSIH