Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Perpaduan di atas beberapa reformasi institusi yang dimulakan dalam tempoh 100 hari pemerintahan dan menggesa lebih banyak perkara yang dijanjikan oleh gabungan dan parti-parti dalam kerajaan untuk dilaksanakan.
Sorakan Kami
Kami mengucapkan tahniah kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat YB Dato’ Johari Abdul dan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, YB Dato’ Seri Azalina Othman, di atas inisiatif/langkah yang diambil berkaitan Parlimen dan Jabatan Peguam Negara seperti berikut:
- Masa Soalan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
- Peningkatan bilangan usul daripada dua ke empat di dalam Kamar Khas.
- Permulaan perbincangan antara Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi dan Peguam Cara Negara berkaitan pemisahan Pejabat Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara serta penubuhan suruhanjaya undang-undang yang bebas.
Kekecewaan Kami
Walau bagaimanapun, kami kesal bahawa Kerajaan telah melepaskan beberapa peluang untuk melaksanakan reformasi yang mudah:
- Meneruskan peruntukan pembangunan kawasan kepada Ahli Parlimen (MP) Pembangkang (93% MP Pembangkang diberikan peruntukan pada 2022) walaupun dijanjikan dalam kedua-dua manifesto Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
- Tidak ada pemantauan parlimen dan telus dalam pelantikan pegawai awam utama termasuklah Peguam Negara, ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
- Tidak ada pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan bagi menghadkan penggal Perdana Menteri kepada 10 tahun, yang merupakan kandungan MOU antara Kerajaan Ismail Sabri dan PH yang belum terlaksana.
- Tidak ada pembentangan RUU Pembiayaan Politik walaupun perkara ini telah diusahakan oleh empat kerajaan yang berturut-turut.
- Tidak ada pembentangan RUU Perkhidmatan Parlimen walaupun usaha ini dimulakan sejak daripada mantan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Ariff Yusof. Ini juga satu janji dalam MOU Kerajaan Ismail Sabri dan PH yang tidak dilaksanakan.
- Tiada pemansuhan atau penyemakan semula oleh jawatankuasa parlimen bagi Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, Akta Cetakan dan Penerbitan 1984, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
- Tiada pembentukan Jawatankuasa Parlimen lebih daripada dua bulan selepas Parlimen ke-15 mengangkat sumpah.
Gesaan kami bagi 100 hari mendatang
Kami menggesa Kerajaan dan Parlimen mengambil ikhtiar untuk melaksanakan tiga reformasi berikut dalam 100 hari akan datang, yang mungkin memerlukan sidang Dewan Rakyat dipanjangkan daripada yang sedang dijadualkan:
- Pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) dan Jawatankuasa Tetap Parlimen (JTP) termasuklah satu jawatankuasa untuk Pilihan Raya dan Demokrasi Berbilang Parti.
- Akta parlimen untuk memperuntukkan peruntukan pembangunan kawasan yang saksama kepada semua Ahli Parlimen.
- Pengiktirafan dan pemerkasaan Kabinet Bayangan Perikatan Nasional (PN) dengan elaun, pegawai penyelidik dan akses maklumat.
Gesaan kami dalam tempoh 1 tahun
Kami menggesa Kerajaan dan Parlimen untuk mengambil ikhtiar melaksanakan tujuh reformasi berikut sebelum 24 November 2023, yang mungkin memerlukan sidang Dewan Rakyat dipanjangkan daripada yang sedang dijadualkan:
- Penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen
- Penggubalan Akta Pembiayaan Politik
- Penggubalan terhadap pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya
- Pindaan Perlembagaan bagi menghadkan tempoh pemegangan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
- Pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
- Pemantauan parlimen dan ketelusan dalam pelantikan pegawai awam utama.
- Semakan semula oleh jawatankuasa parlimen Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, Akta Cetakan dan Penerbitan 1984, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
BERSIH akan terus berbincang dengan Kerajaan, Parlimen dan pihak berkepentingan yang lain untuk mendesak reformasi yang dijanjikan, serta akan terus memantau dan menyemak imbang perkembangan kemajuannya.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH