BERSIH gesa kerajaan laksana lebih banyak reformasi

KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa kerajaan perlu melaksanakan lebih banyak perkara dijanjikan oleh gabungan dan parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan ini.

BERSIH dalam kenyataan hari ini, berkata beberapa reformasi institusi sudah dilaksanakan selepas 100 hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, antara inisiatif yang dilakukan termasuk Yang Dipertua Dewan Rakyat memberi masa untuk Sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat dan meningkatkan bilangan usul daripada dua kepada empat dalam Kamar Khas.

Selain itu, permulaan perbincangan antara Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi dan Peguam Cara Negara berkaitan pemisahan Pejabat Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara serta penubuhan suruhanjaya undang-undang yang bebas.

“Bagaimanapun, kami kesal kerajaan melepaskan beberapa peluang melaksanakan reformasi yang mudah, antaranya meneruskan peruntukan pembangunan kawasan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Sedangkan perkara ini dijanjikan dalam kedua-dua manifesto Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Pada 2022, sebanyak 93 peratus Ahli Parlimen pembangkang diberikan peruntukan,” katanya.

BERSIH juga menzahirkan kekecewaan apabila tidak ada pemantauan Parlimen dan ketelusan dalam pelantikan pegawai awam utama termasuk Peguam Negara, ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Katanya, BERSIH turut kesal kerana tidak ada pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan penggal Perdana Menteri kepada 10 tahun.

“Perkara itu terkandung dalam perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini dengan PH yang belum terlaksana.

“BERSIH juga kecewa apabila tidak ada pembentangan RUU Pembiayaan Politik walaupun perkara ini sudah diusahakan empat kerajaan berturut-turut,” katanya.

Selain itu, katanya, perkara lain yang belum dilaksanakan ialah pemansuhan atau penyemakan semula Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, Akta Cetakan dan Penerbitan 1984, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Sementara itu, BERSIH menggesa kerajaan dan Parlimen berikhtiar melaksanakan tiga reformasi dalam 100 hari akan datang dan ia mungkin memerlukan sidang Dewan Rakyat dipanjangkan.

“Pertama, pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) dan Jawatankuasa Tetap Parlimen (JTP) termasuk satu jawatankuasa untuk Pilihan Raya dan Demokrasi Berbilang Parti.

“Seterusnya, Akta Parlimen untuk memperuntukkan peruntukan pembangunan kawasan yang saksama kepada semua Ahli Parlimen dan ketiga, pengiktirafan serta pemerkasaan Kabinet Bayangan Perikatan Nasional (PN) dengan elaun, pegawai penyelidik dan akses maklumat,” katanya.

(Pertama kali diterbitkan oleh Berita Harian pada 4 Mac 2023: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1072474/bersih-gesa-kerajaan-laksana-lebih-banyak-reformasi)