Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyambut baik kenyataan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa kerajaan terbuka untuk memberikan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) dan mempunyai perancangan bagi empat lagi reformasi institusi.
Peruntukan Saksama
Di Parlimen semalam, Perdana Menteri jelas menyatakan bahawa beliau secara prinsip tidak menentang pemberian CDF yang sama rata kepada Ahli Parlimen Kerajaan mahupun pembangkang.
BERSIH sekian lama menyatakan bahawa pemberian CDF yang saksama adalah perlu bagi memperkasakan demokrasi berbilang parti dan menstabilkan politik dengan mewujudkan padang yang sama rata dengan mengurangkan insentif terhadap wakil rakyat untuk diugut atau digoda supaya berlaku khianat bagi mendapatkan peruntukan. CDF seharusnya disediakan di bawah akta parlimen dan bukannya melalui budi bicara Perdana Menteri.
Tiba masanya untuk kedua-dua Kerajaan dan Pembangkang berunding bagi mengkanunkan undang-undang ini, malah jika perlu Pembangkang boleh membentangkan RUU Persendirian bagi isu ini. Undang-undang CDF ini juga perlu dikanunkan di setiap negeri. Tindakan Perak yang memberikan CDF yang saksama kepada semua ADUN sejak Disember 2020 sebagai sebahagian rundingan kestabilan politik wajar dipuji namun belum ada perundangan yang dikanunkan. Dalam kes peruntukan CDF yang paling tidak adil, Kerajaan Sarawak memberikan ADUN kerajaan sekurang-kurangnya RM8 juta setahun tetapi satu sen pun tidak diberikan kepada pembangkang.
BERSIH dan badan pemikir IDEAS telah menjalankan kajian yang menyeluruh termasuk instrumen perundangan yang diperlukan, yang boleh digunakan oleh kedua-dua pihak.
Empat Reformasi Seterusnya
Kami sukacita dengan tekad dan perancangan yang jelas daripada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi pada 6 Mac 2023 bagi empat reformasi ‘mudah’ yang boleh dilaksana:
- Akta Pembiayaan Politik – kami berharap termasuklah pendanaan awam bagi parti politik berdasarkan peratusan undi yang diterima;
- Had 10 Tahun Perdana Menteri
- Pelantikan Jawatankuasa Parlimen – kami berharap semua portfolio kementerian dapat dipantau, jawatankuasa yang mencukupi untuk semua ahli parlimen persendirian sertai, dan beberapa jawatankuasa dijadikan jawatankuasa kekal;
- Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji pemisahan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pejabat Pendakwaraya yang bebas politik – kami berharap sehingga berjaya, pendakwaan dilakukan oleh Peguam Cara Negara, penjawat awam yang profesional – bagi mengelakkan sebarang keraguan terhadap pendakwaan/pembebasan terpilih.
BERSIH telah mengeluarkan kenyataan pada 4 Mac bagi mendesak reformasi yang mudah untuk dilaksanakan dalam tempoh 100 hari seterusnya dan dalam tempoh satu tahun ini. Respon menteri yang meyakinkan terhadap empat reformasi institusi yang didesak oleh kumpulan masyarakat sivil, pakar dan pihak berkepentingan yang lain adalah tanda yang baik bahawa Kerajaan terbuka dan bertekad melakukan reformasi. Kami berhadap Pembangkang juga akan memberi respon yang positif kepada kedua-dua Kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil untuk menempa agenda bersama bagi reformasi institusi.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH