BERSIH syor hal ehwal parti politik diselia SPR, elak campur tangan Eksekutif

KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mencadangkan supaya hal ehwal pendaftaran, penyeliaan dan pengurusan parti politik diletakkan di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jawatankuasa Pemandu BERSIH berkata, dengan meletakkan penyeliaan parti politik di bawah SPR, dapat mengurangkan konflik kepentingan atau campur tangan daripada badan Eksekutif.

“Pengurusan parti politik, termasuk bagaimana mekanisme pendaftaran, keperluan pelaporan termasuk urusan kewangan parti politik dapat diselia melalui Akta Parti Politik yang baharu.

“Pengurusan parti politik yang diletakkan di bawah badan yang bebas adalah satu lagi reformasi yang boleh dimulakan dan dilaksanakan di bawah Kerajaan Perpaduan dan perkara ini perlu dimulakan dengan sesegera mungkin bagi mengelakkan persepsi bahawa kerajaan ini tidak stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, isu mengenai pendaftaran, pengurusan dan penyeliaan parti politik adalah penting bagi menjamin sistem demokrasi yang sihat dapat berjalan tanpa ada campur tangan politik, terutama jika parti atau gabungan politik terbabit boleh menggugat kepentingan politik kerajaan.

Katanya, merujuk kepada isu usul Perhimpunan Agung UMNO yang meluluskan usul bagi tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti terbabit, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi menyatakan bahawa partinya sudah menerima surat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Kelulusan ini disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengecualikan peruntukan pembatalan pendaftaran sesuatu pertubuhan di bawah Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966. Pengecualian itu dibuat di bawah peruntukan Seksyen 70 iaitu kuasa menteri untuk mengecualikan di bawah akta yang sama.

“Isu campur tangan terhadap pendaftaran, kelulusan dan pembatalan parti politik bukan perkara baharu dan banyak insiden yang berlaku berkaitan pendaftaran atau kelulusan parti politik berlaku sebelum ini,” katanya.

Antara insiden yang didakwa sebagai campur tangan membabitkan parti MUDA yang berdepan kesukaran mendaftarkan parti sehingga Mahkamah Tinggi memerintahkan Menteri Dalam Negeri ketika itu mendaftarkannya pada 14 Disember 2021.

Selain itu, parti PEJUANG turut menghadapi halangan untuk mendaftarkan parti mereka walaupun RoS tidak ada masalah dengan pendaftaran terbabit, namun perlu merujuk kepada Menteri Dalam Negeri.

“Parti BERSATU pula menghadapi masalah pendaftaran sebulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila parti terbabit diarah untuk dibubarkan pada 5 April 2018 kerana masalah dokumen.

“Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula mengambil masa 10 tahun untuk didaftarkan sebagai parti politik yang sah.

“Pendaftaran gabungan politik yang tidak pro kerajaan sering menghadapi masalah sebagaimana yang berlaku kepada Pakatan Rakyat (PR) dan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Justeru, insiden yang dinyatakan itu menunjukkan bahawa terdapat keperluan supaya pengurusan parti politik diletakkan di bawah badan yang lebih bebas berbanding di bawah kuasa menteri yang cenderung menggunakan kuasa mereka bagi meluluskan atau membatalkan sesuatu parti politik disebabkan oleh kepentingan politik parti pemerintah.

(Pertama kali diterbitkan oleh Berita Harian pada 9 Mac 2o23: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1074706/bersih-syor-hal-ehwal-parti-politik-diselia-spr-elak-campur-tangan)