Parti Politik Perlu Diselia dan Dikawal oleh SPR yang Bebas

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) merujuk kepada isu berkenaan usul Perhimpunan Agung UMNO yang meluluskan usul bagi tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti tersebut, iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti. Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi menyatakan bahawa parti beliau telah menerima surat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Kelulusan ini disahkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution yang mengecualikan peruntukan pembatalan pendaftaran sesuatu pertubuhan di bawah Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966. Pengecualian itu dibuat di bawah peruntukan Seksyen 70 iaitu kuasa menteri untuk mengecualikan di bawah akta yang sama.

Isu berkenaan pendaftaran, pengurusan dan penyeliaan parti politik merupakan isu yang penting bagi menjamin sistem demokrasi yang sihat dapat berjalan tanpa ada campur tangan politik, terutamanya jika parti atau gabungan politik tersebut boleh menggugat kepentingan politik kerajaan. Isu campur tangan terhadap pendaftaran, kelulusan dan pembatalan parti politik bukanlah baharu semalam berlaku dalam negara kita. Banyak insiden yang berlaku berkaitan pendaftaran atau kelulusan parti politik yang telah berlaku sebelum ini, antaranya:

  1. Parti MUDA mengalami kesukaran untuk mendaftarkan parti sebelum akhirnya Mahkamah Tinggi memerintahkan Menteri Dalam Negeri untuk mendaftarkan parti tersebut pada 14 Disember 2021.
  2. Parti PEJUANG menghadapi halangan untuk mendaftarkan parti mereka walaupun ROS tidak ada masalah dengan pendaftaran tersebut namun perlu merujuk kepada Menteri Dalam Negeri. Mahkamah Tinggi pada 25 Jun 2021 akhirnya memerintahkan Menteri Dalam Negeri untuk membuat keputusan dan parti tersebut berjaya didaftarkan pada 8 Julai 2021.
  3. Parti BERSATU menghadapi masalah pendaftaran sebulan sebelum PRU14 apabila parti tersebut diarahkan untuk dibubarkan pada 5 April 2018 kerana masalah dokumen.
  4. Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengambil masa 10 tahun untuk didaftarkan sebagai parti politik yang sah.
  5. Pendaftaran gabungan politik yang tidak pro kerajaan sering menghadapi masalah sebagaimana yang berlaku kepada Pakatan Rakyat (PR) dan Pakatan Harapan (PH).

Insiden yang dinyatakan menunjukkan bahawa terdapat keperluan supaya pengurusan parti-parti politik ini diletakkan di bawah badan yang lebih bebas berbanding di bawah kuasa menteri yang cenderung menggunakan kuasa mereka untuk meluluskan atau membatalkan sesuatu parti politik disebabkan oleh kepentingan politik parti pemerintah.

Justeru, satu reformasi yang menyeluruh perlu dibuat bagi mencegah perkara ini daripada terus berulang. BERSIH mencadangkan agar hal ehwal pendaftaran, penyeliaan dan pengurusan parti politik diletakkan di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bebas kerana SPR yang sering berurusan dengan parti politik terutamanya berkenaan dengan pilihan raya. Dengan meletakkan penyeliaan parti politik di bawah SPR juga dapat mengurangkan konflik kepentingan atau campur tangan daripada Eksekutif. Pengurusan parti politik, termasuk bagaimana mekanisme pendaftaran, keperluan pelaporan termasuk urusan kewangan parti politik dapat diselia melalui Akta Parti Politik yang baharu.

Pengurusan parti politik yang diletakkan di bawah badan yang bebas adalah satu lagi reformasi yang boleh dimulakan dan dilaksanakan di bawah Kerajaan Perpaduan dan perkara ini perlu dimulakan dengan sesegera mungkin bagi mengelakkan persepsi bahawa Kerajaan ini tidak stabil, oleh itu perlu mencampuri urusan parti politik untuk kekal berkuasa.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH