Reformasi Proses Pelantikan Pengarah GLC Segera

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengecam dua pelantikan jawatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang baru diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi. Dua pelantikan tersebut adalah (1) pelantikan mantan Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), (2) pelantikan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan Ahmad Jazlan Yaakob sebagai Pengerusi FELCRA. Tambah lagi, pelantikan terkini iaitu Dato Husam Musa selaku pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB). Pelantikan-pelantikan ini diumumkan ketika UMNO sedang menjalani pemilihan parti mereka dan sebelum pilihan raya negeri akan datang, justeru pelantikan ini boleh dilihat sebagai penaungan dan ganjaran untuk mendapatkan sokongan.

Kami mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tentang usaha awalnya untuk menyelaraskan proses pelantikan GLC dan memerangi kronisme. Pada 2021, BERSIH menerbitkan satu kajian lengkap fenomena ini yang menunjukkan bahawa GLC dan agensi berkaitan telah digunkan untuk mendapatkan sokongan politik. Laporan tersebut, “Reforming the Appointment Process of Directors in GLICs, GLCs and Commercially Related Statute Bodies”, yang ditulis oleh Fikri Fisal menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 25 ahli politik telah dilantik sebagai pengarah dalam GLC/Badan Berkanun semasa pentadbiran PH (2018-2020). Bilangan ini bertambah teruk semasa pentadbiran PN di mana sekurang-kurangnya 53 ahli politik telah dilantik.

Sementara kami tidak sepenuhnya melarang ahli politik untuk memegang sebarang jawatan dalam GLC atau badan berkanun, proses pelantikannya perlu direformasi supaya mana-mana pelantikan yang dibuat dengan telus selepas calon-calon menjalani penelitian agar mereka mempunyai kelayakan dan kemampuan yang tepat, dan bukannya sekadar ‘ganjaran politik’ untuk mendapatkan sokongan. Hal ini akan berterusan sekiranya tidak ada reformasi proses pelantikan. Kami mencadangkan tindakan berikut yang berdasarkan amalan terbaik demokrasi negara lain untuk diambil bagi mereformasi pelantikan jawatan tertinggi GLC, GLIC dan badan berkanun:

a) Larangan melantikan wakil rakyat ke dalam GLC, GLIC atau badan berkanun. Hal ini telah dilaksanakan di India dan Korea Selatan, dan perundangan yang serupa boleh dikaji dan diteladani.

b) Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) untuk memantau dan menapis pencalonan. Penubuhan JPKP ini dapat menambah ketelusan dan memastikan bahawa hanya calon yang layak dapat dilantik melalui satu proses berbanding pelantikan secara wewenang.

c) Penggubalan Akta yang akan mentakrifkan GLC dan GLIC secara jelas yang akan terpakai di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri. sebagai alternatif, undang-undang yang sedia ada seperti Akta Syarikat boleh dipinda untuk mencapai tujuan ini.

BERSIH menggesa kerajaan untuk melaksanakan reformasi ini dengan segera meletakkan mekanisme yang diperlukan bagi mewujudkan proses pelantikan yang lebih telus, sekaligus meningkatkan keabsahan pelantikan tersebut.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH