KUALA LUMPUR: Aspek ganjaran politik untuk dapatkan sokongan perlu dielakkan dalam pelantikan seseorang ahli politik memegang jawatan tinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pegangan ekuiti syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau badan berkanun.
Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) berkata pihaknya tidak menentang ahli politik memegang jawatan dalam syarikat terbabit, namun proses pelantikannya perlu dibuat secara telus dan mempunyai kelayakan mahupun kemampuan setimpal.
“Hal ini akan berterusan sekiranya tidak ada reformasi proses pelantikan. Apa yang dicadangkan ini berdasarkan amalan terbaik demokrasi negara lain, ia termasuklah larangan melantik wakil rakyat ke dalam GLC, GLIC atau badan berkanun seperti dilaksanakan di India dan Korea Selatan dengan perundangan serupa boleh dikaji dan diteladani.
“Kedua ialah dengan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) bagi memantau dan menapis pencalonan. Penubuhan JPKP ini dapat menambah ketelusan dan memastikan bahawa hanya calon yang layak dapat dilantik melalui satu proses berbanding pelantikan secara wewenang.
“Cadangan ketiga adalah penggubalan Akta yang akan mentakrifkan GLC dan GLIC secara jelas yang akan terpakai di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri sebagai alternatif, undang-undang yang sedia ada seperti Akta Syarikat boleh dipinda untuk mencapai tujuan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BERSIH menggesa kerajaan melaksanakan reformasi itu dalam kadar segera bagi mewujudkan proses pelantikan yang lebih telus, sekaligus meningkatkan keabsahan pelantikan tersebut.
Jawatankuasa itu turut memaklumkan, reformasi berkenaan seiring dengan usaha awal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelaraskan proses pelantikan ke GLC dan memerangi kronisme.
“Pada 2021, BERSIH menerbitkan satu kajian lengkap fenomena ini yang menunjukkan bahawa GLC dan agensi berkaitan digunakan untuk mendapatkan sokongan politik.
“Laporan itu menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 25 ahli politik dilantik sebagai pengarah dalam GLC atau badan berkanun semasa pentadbiran Pakatan Harapan (2018-2020). Bilangan ini bertambah teruk semasa pentadbiran Perikatan Nasiona di mana sekurang-kurangnya 53 ahli politik telah dilantik,” katanya.
Malah BERSIH juga mengecam pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang melantik mantan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi MARA serta Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob sebagai Pengerusi FELCRA.
“Pelantikan-pelantikan ini diumumkan ketika UMNO sedang menjalani pemilihan parti mereka dan sebelum pilihan raya negeri akan datang, justeru pelantikan ini boleh dilihat sebagai penaungan dan ganjaran untuk mendapatkan sokongan,” katanya.
(Pertama kali disiarkan oleh Berita Harian pada 20 Mac 2023: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1079600/segerakan-reformasi-proses-lantikan-ahli-politik-dalam-glc-glic)