Penubuhan JPKP Dialukan Namun Belum Berjaya Libatkan Semua Ahli Parlimen

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengalu-alukan pembentukan 10 buah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) yang baharu diluluskan di Dewan Rakyat semalam. Setiap JPKP akan mempunyai 9 Ahli Parlimen di dalamnya termasuk Pengerusi. 10 JPKP tersebut adalah:

  1. Kewangan dan Ekonomi
  2. Keselamatan
  3. Kesihatan
  4. Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan dan Kos Sara Hidup
  5. Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi
  6. Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia
  7. Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat
  8. Alam Sekitar, Sains dan Pertanian
  9. Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa
  10. Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

BERSIH mengalu-alukan pembentukan JPKP bagi Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Insitusi. Sebelum ini kami menggesa agar satu Jawatankuasa Tetap Parlimen (JTP) bagi Pilihan Raya dan Demokrasi Berbilang Parti secara berasingan ditubuhkan, namun demikian JPKP yang dibentuk untuk mengawasi isu-isu hak asasi, pilihan raya dan reformasi institusi tetap merupakan satu perkara yang positif.

Walau bagaimanapun, BERSIH berpandangan bahawa pembentukan 10 JPKP dengan komposisi 9 orang ahli setiap jawatankuasa itu masih tidak mencukupi untuk melibatkan ahli-ahli parlimen backbencher kerajaan dan pembangkang. Sekiranya Parlimen ingin mengekalkan 10 JPKP dengan komposisi sekarang, sebanyak 67 orang ahli parlimen tidak akan berada di dalam mana-mana jawatankuasa sekaligus menafikan peranan mereka sebagai pembuat dasar di peringkat JPKP atau PAC (setelah mengecualikan empat jawatankuasa tetap lain yang menjaga hal-ehwal dalaman Dewan Rakyat). Jika 10 JPKP ini ingin dikekalkan, adalah lebih baik komposisi di dalam setiap jawatankuasa ditambah sehingga maksimum 16 orang ahli parlimen. Alternatifnya, Parlimen boleh menubuhkan lebih banyak JPKP dengan memecahkan beberapa jawatankuasa bagi mengurangkan kementerian yang akan dipantau serta lebih berfokus.

BERSIH berharap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dapat memberikan penjelasan mengapa hanya 10 JPKP yang ditubuhkan dan mengapa komposisi JPKP ini tidak dimaksimumkan agar semua ahli parlimen persendirian dapat berada di sekurang-kurangnya satu jawatankuasa. BERSIH juga berharap Pengerusi dan ahli-ahli yang akan berada di dalam JPKP akan diumumkan segera dan mencadangkan agar sebaiknya ahli Pembangkang dilantik menjadi Pengerusi untuk JPKP ini. Komposisi di dalam JPKP juga perlulah seimbang dan mencerminkan komposisi ahli-ahli parlimen di dalam Dewan Rakyat.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH