Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau bersetuju untuk meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen dan proses pelantikan Ketua Pesuruhjayanya diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP)
Perdana Menteri menyebut bahawa beliau ‘tidak ada bantahan’ untuk mereformasi proses pelantikan – BERSIH, IDEAS, dan Transparency International-Malaysia antara badan yang mencadangkan mekanisme yang terperinci.
Kami memahami bahawa sebarang mekanisme reformasi perlu melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) dan diteliti oleh JPKP, serta berharap agar perkara ini dilakukan dengan telus dan melibatkan penyertaan pertubuhan masyaraka sivil.
Kami juga mengalu-alukan ‘persetujuan’ daripada Perdana Menteri bahawa Jabatan Peguam Negara perlu dipisahkan daripada pendakwa raya. Pemisahan ini serta reformasi proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, perlu dipercepatkan untuk mengukuhkan autonomi institusi dan menyingkirkan persepsi ‘pendakwaan terpilih’ yang dikenakan kepada mantan perdana menteri serta ahli parlimen pembangkang.
Akhir sekali, kami memuji usaha Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul untuk memperkasakan Parlimen, terutamanya bagi mencadangkan JPKP untuk pelantikan jawatan utama dalam agensi kerajaan seperti SPRM dan SPR.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH