Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) mengutuk sekeras-kerasnya kempen terbaharu oleh pihak yang dikaitkan dengan mantan Perdana Menteri Najib Razak yang sedang mencemarkan nama baik Hakim Nazlan Ghazali – hakim yang mempengerusikan perbicaraan kes penggubahan wang haram dan pecah amanah SRC International oleh Najib pada 2020 – yang nampaknya telah direka untuk menjatuhkan pentadbiran undang-undang dan mencemarkan nama baik badan kehakiman Malaysia
Latar belakang fakta kes adalah seperti berikut:
- Pada April 2022, Ketua Pesuruhjaya SPRM mengumumkan kepada media bahawa SPRM sedang menyiasat seorang hakim untuk kesalahan rasuah, berikutan tuduhan yang dibuat kepada Hakim Nazlan oleh pemblog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin. Hakim Nazlan kemudiannya membuat laporan polis bagi menyangkal tuduhan tersebut (https://www.malaysiakini.com/news/618755)
- Pada 29 September 2022, SPRM mengumumkan bahawa mereka telah menyempurnakan penyiasatan dan menunggu arahan seterusnya daripada Jabatan Peguam Negara. Ketua Pesuruhjaya SPRM menolak untuk memberikan sebarang maklumat atau komen lanjut (https://www.malaysiakini.com/news/637586).
- Pada Februari 2023, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengesahkan kepada Dewan Rakyat bahawa SPRM telah menyerahkan laporan kepada Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan berkenaan tuduhan pelanggaran Kod Etika Hakim 2009 oleh Hakim Nazlan. Perlu ditekankan bahawa tiada sebarang maklumat berkenaan laporan ini telah didedahkan (https://www.malaysiakini.com/news/656202)
- Walau bagaimanapun pada 20 mac 2023, Menteri tersebut dituduh menulis kepada Peguam Najib bagi mengesahkan bahawa SPRM telah mendapati bahawa Hakim Nazlan berada dalam konflik kepentingan apabila menghakimi perbicaraan SRC International, dan Hakim Nazlan melanggar Kod Etika Hakim 2009. (https://www.malaysiakini.com/news/661287).
Bersih dan GBM mengingatkan semua rakyat Malaysia bahawa tiada seorang pun berada di atas undang-undang dan pihak berkuasa mesti menyiasat semua pertuduhan salah laku yang dilakukan oleh semua pihak, termasuklah anggota badan kehakiman.
Namun, disebabkan oleh kemaslahatan dan kebajikan rakyat Malaysia bergantung kepada kehakiman untuk menjalankan pentadbiran keadilan dengan bebas, tanpa takut atau pilih kasih, tuduhan salah laku tidak seharusnya dibuat dengan niat jahat untuk menjatuhkan pentadbiran keadilan atau mencemarkan nama baik kehakiman.
Protokol muktamad untuk mengendalikan penyiasatan terhadap anggota badan kehakiman telah ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 24 Februari 2023, yang memperuntukkan bahawa:
- badan penyiasatan perlu mendapatkan kebenaran daripada Ketua Hakim Negara terlebih dahulu sebelum menyiasat mana-mana hakim;
- fakta atau kandungan siasatan tidak boleh diuar-uarkan atau dipamerkan tanpa mendapat kebenaran daripada Ketua Hakim Negara;
- keseluruhan kandungan siasatan perlu kekal rahsia pada setiap masa; dan
- Pendakwa Raya perlu merujuk Ketua Hakim Negara apabila memberi arahan semasa penyiasatan dan berkenaan dengan keputusannya untuk mendakwa
Mahkamah Persekutuan telah menyatakan dengan jelas:
”Perlu diingat bahawa aduan hanyalah itu – aduan. Ianya boleh menjadi benar sepenuhnya atau semata-mata palsu dan dirancang untuk merosakkan kredibiliti atau reputasi Hakim…Fakta seorang Hakim dituduh melakukan jenayah sudah cukup untuk menjejaskan reputasinya dan reputasi Badan Kehakiman keseluruhannya.”
Bersih dan GBM maklum daripada fakta yang tersedia kepada orang awam, adalah jelas bahawa tiga daripada empat ketentuan oleh Mahkamah Persekutuan telah dilanggar oleh SPR dan Kerajaan. Siasatan terhadap Hakim Nazlan telah dilaksanakan tanpa merujuk kepada Ketua Hakim Negara dan fakta penyiasatan telah diuar-uarkan tanpa mendapat persetujuan beliau. Hal ini telah dipegang oleh Mahkamah Persekutuan sebagai “petunjuk yang kuat menunjukkan kekurangan niat baik dalam siasatan jenayah’. Kini, kandungan penemuan siasatan SPRM juga telah diuar-uarkan kepada orang ramai oleh Menteri.
Sebagaimana ramai telah sedia maklum, SPRM diberi kuasa untuk menyiasat kesalahan yang bertentangan dengan Akta SPRM. Berikutan penyiasatan tersebut, mereka boleh mengemukakan aduan kepada Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan untuk menentukan keperluan tindakan lanjut dibawah Kod Etika Hakim 2009.
Bagi menghindari sebarang keraguan, SPRM tidak mempunyai kepakaran atau bidang kuasa untuk menentukan sama ada hakim yang mempengerusikan perbicaraan jenayah mempunyai konflik kepentingan yang memerlukan beliau untuk menarik diri daripada perbicaraan, atau untuk menentukan sama ada hakim telah melanggar Kod Etika Hakim 2009. Pengurusan perbicaraaan jenayah adalah urusan mahkamah perbicaraan atau rayuan – yang secara konsisten menolak tuduhan yang dibuat oleh peguam Najib, dan urusan etika kehakiman adalah untuk Ketuan Hakim Negara, Jawatankuasa Etika Kehakiman dan/atau tribunal yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan. Campur tangan SPRM dalam urusan pengurusan perbicaraan kehakiman dan etika kehakiman menunjukkan keangkuhan, kebiadapan dan penghinaan kepada kebebasan badan kehakiman.
Adalah sangat jelas daripada episod ini bahawa SPRM memerlukan reformasi struktur yang mendalam untuk membebaskannya daripada pengaruh Eksekutif dan tidak dijadikan senjata untuk kepentingan politik. Sebarang siasatan terhadap tindakan SPRM yang dinilai sebagai niat jahat terhadap Mahkamah Persekutuan dan masa ‘meragukan’ untuk menguar-uarkan siasatan mereka sebelum rayuan akhir SRC Najib di mahkamah tertinggi tahun lepas, perlu dimulakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Perlu dinyatakan bahawa tuduhan semberono salah laku kehakiman adalah sangat serius dan berpotensi merosakkan, bahkan Parlimen dilarang oleh Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan penjalanan mahkamah dibahaskan di Parlimen, kecuali dengan usul substantif yang dibawa oleh tidak kurang daripada 1/4 ahli-ahli Dewan. Oleh itu, tidak ada jawapan untuk mengatakan bahawa seorang Menteri berhak untuk mendedahkan kandungan penyiasatan kepada hakim hanya kerana soalan telah diajukan di Dewan.
Bersih dan GBM percaya bahawa kempen memburukkan Hakim Jazlan dan sistem kehakiman Malaysia oleh peguam dan rakan-rakannya berniat untuk mendapatkan pengampunan diraja kepada Najib yang akan membebaskan beliau daripada penjara.
Kami dengan rendah diri memohon kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan semua rakyat Malaysia untuk menolak percubaan daripada penjenayah yang disabitkan dan rakan-rakannya untuk menjatuhkan pentadbiran keadilan serta mencemarkan nama baik badan kehakiman, dan menegaskan bahawa Ketua Hakim Negara perlu diberikan ruang untuk menentukan sebarang tindakan yang bersesuaian secara bebas berdasarkan maklumat yang dirujuk kepada beliau.
Kenyataan ini dikeluarkan secara bersama oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH
Gabungan Bertindak Malaysia (GBM)