Laporan Tahunan 2022: Peranan Bersih dalam Tahun yang Mencabar

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) sukacitanya melancarkan Laporan Tahunan 2022 kami yang memperincikan cabaran dan tribulasi dalam kerja-kerja BERSIH dalam suasana politik yang sering berombak. Tahun 2022 adalah sangat penting kerana beberapa reformasi yang dipersetujui oleh kerajaan dan pembangkang di dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU) telah terlaksana dan disusuli dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), di mana keputusannya adalah Parlimen tergantung.

BERSIH menyumbang dengan signifikan dalam advokasi kami untuk penghasilan mekanisme antilompat parti. Kami mendesak untuk pembentangan dan penggubalan pindaan perlembagaan bagi undang-undang anti-lompat parti sebelum PRU15. Undang-undang tersebut berkuatkuasa lima hari sebelum Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober, dan menjadi bukti kepada kerja-kerja Bersih lakukan sejak Langkah Sheraton.

Beberapa reformasi yang dipersetujui dalam MOU yang telah dilaksanakan adalah Undi18 dan Pendaftaran Pengundi Secara Automatik, pengiktirafan pejabat Ketua Pembangkang dengan elaun, serta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama walaupun hanya terhad kepada Ahli Parlimen bagi parti politik yang menandatangani MOU tersebut. Sumbangan kami bagi mendesak reformasi ini termasuklah melakukan kempen kepada orang ramai, mobilisasi rakan sekutu, menyerahkan memorandum di luar Parlimen, memberi taklimat kepada penggerak utama politik termasuk menteri bertanggungjawab hal ehwal undang-undang, dan melobi sokongan untuk RUU. Kami juga menganjurkan dua persidangan penting bersama Majlis Peguam Malaysia berkenaan Undang-Undang Antilompat dan Reformasi Institusi yang utama.

BERSIH juga sentiasa sedar dengan kuasa rakyat dan terus turun ke akar umbi di tujuh buah bandar dalam kempen Ketuanan Pengundi kami. Mesej kami kepada rakyat adalah untuk menggemakan enam tuntutan: i) jangan nafi undi rakyat; ii) hentikan lompat parti; iii) bebaskan parlimen daripada cengkaman Eksekutif; iv) hapuskan akta drakonian; v) tolak dua darjat; vi)berikan undi kepada pembayar cukai.

Kami juga menggerakkan lebih 120 orang Pemantau dalam PRU15 untuk memantau pilihan raya dengan tiga kaedah: pemantauan fizikal, pemantauan dalam talian, dan pemantauan media. Kami juga melancarkan laman web khusus untuk pemerhatian pilihan raya, pemantau.org, untuk menunjukkan senarai kesalahan pilihan raya, seksyen soalan lazim untuk membantu pengundi dalam proses pengundian, dan seksyen Fact-Checker untuk menjawab berita palsu dan maklumat yang salah semasa PRU15.

Selepas PRU15, kami menjangkakan Parlimen akan tergantung dan mengeluarkan kenyataan bertajuk “10 Cadangan Membentuk Kerajaan Campuran Pasca Pilihan Raya” sebelum Hari Pengundian tamat pada 19 November. Cadangan yang dikemukakan masih relevan dan adalah utama untuk menjamin kelangsungan dan kestabilan Kerajaan Perpaduan dalam bulan-bulan yang mendatang.

Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang terus mendokong dan menyokong perjuangan BERSIH untuk memartabatkan demokrasi di tanah tumpah darah. Sokongan dan ketabahan rakyat yang terus mengasak agar Kerajaan hari ini dan akan datang untuk terus setia mengangkat suara rakyat.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH