Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Kofi Annan Foundation dan Global Bersih, Bersama dengan Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, sukacitanya melancarkan sidang meja bulat Mendalami Demokrasi di Malaysia di Parlimen. Sidang meja bulat ini akan diadakan di Dewan Persidangan Parlimen selama dua hari bermula hari ini, 9 Mei sehingga 10 Mei 2023 dan mempunyai penyertaan dan sumbang saran daripada pakar antarabangsa dan tempatan, pemimpin politik daripada pelbagai parti, pemimpin masyarakat sivil, pemimpin badan pemikir dan akademik, kumpulan mahasiswa dan anak muda serta pengamal media.
Bersih, Kofi Annan Foundation dan Global Bersih sebagai penganjur sangat berterima kasih dan berbesar hati untuk mempunyai sokongan padu daripada Pejabat Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, serta sokongan yang banyak daripada Rombongan Kesatuan Eropah ke Malaysia dan Pesuruhjaya Tinggi Australia bagi memastikan majlis berprestij ini dilangsungkan. Sidang meja bulat ini mengenal pasti tema yang mustahak dan utama, di mana untuk meneroka peluang dan penyelesaian bagi mendalami demokrasi di Malaysia dalam situasi parlimen tergantung – apabila tidak ada parti mempunyai majoriti mudah di Parlimen – selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Walaupun parlimen tergantung adalah baru di Malaysia, sebenarnya perkara ini adalah kelaziman di negara demokrasi maju di serata dunia. Negara-negara ini telah menemui jalan untuk membina kerajaan dan gabungan yang berfungsi dan stabil bagi memastikan pentadbiran dan pembangunan kerajaan mereka tidak terhalang. Sebagai semangat untuk bertukar-tukar pengetahuan dan mencontohi amalan terbaik dalam demokrasi yang lebih matang, penganjur telah mendapatkan pakar dan pengamal demokrasi daripada Sweden, Finland, Jerman, Kadana, Australia dan Filipina untuk berkongsi pengalaman dalam dialog bersama pemimpin politik dan pakar tempatan.
Sidang meja bulat ini mempunyai lima sesi selama dua hari, iaitu:
Sesi 1: Kestabilan Politik semasa Parlimen Tergantung
Sesi 2: Pembangkang dan kabinet bayangan di Parlimen.
Sesi 3: Memandu Gabungan Kerajaan Pascapilihan raya
Sesi 4: Memperkasa Ahli Parlimen
Sesi 5: Masyarakat sivil, media dan anak muda.
Selain daripada menyediakan platform untuk perkongsian pengalaman dan amalan baik daripada demokrasi berparlimen di negara lain, kami juga berharap untuk memudahcara dialog di antara pihak berkepentingan bagi memajukan demokrasi pelbagai parti di Malaysia. Di penghujung meja bulat ini, kami akan menghasilkan laporan penuh bagi menyorot perbahasan dan cabaran utama, serta cadangan konstruktif untuk mendalamkan demokrasi di Malaysia.
Kami berbesar hati dengan sokongan padu daripada Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat Dato’ Johari Abdul dan persetujuan beliau untuk menjadi host persidangan ini, walaupun dukacitanya beliau tidak dapat untuk hadir kerana menghadiri ASEAN-AIPA Leaders’ Interface Meeting di Labuan Bajo, Indonesia. Di tempat beliau, Timbalan Yang di-Pertua YB Alice Lau telah berkenan untuk menyampaikan ucaptama bagi melancarkan sidang kali ini.
Sidang kali ini adalah sidang kedua di mana ketiga-tiga penganjur telah menganjurkan bersama. Kali pertama adalah enam bulan selepas PRU14 di mana Parlimen menjadi hos kepada Sidang Meja Bulat Reformasi Pilihan Raya dengan sokongan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meneroka reformasi pilihan raya kritikal yang diperlukan untuk menguatkan demokrasi kita.
Kami berbesar hati untuk meneruskan dan memajukan tradisi ini bagi menjadikan Parlimen sebagai arena untuk perbahasan bagi melestarikan demokrasi kita. Demokrasi dan kestabilan bagai isi dengan kuku. Tidak akan ada kestabilan tanpa demokrasi dan sebaliknya. Dalam demokrasi berparlimen seperti Malaysia, Parlimen adalah institusi awam utama untuk menggalas demokrasi dan memajukan agenda reformasi.
Kami berharap untuk meneruskan perbincangan yang mustahak ini pada masa hadapan bagi menggalakkan semua parti politik dan pihak berkepentingan dalan negara ini untuk bekerjasama membina model pentadbiran yang lebih terbuka, inklusif dan multietnik yang akan memberi impak kepada perkembangan politik di peringkat tempatan dan serantau.
Sidang meja bulat ini akan disiarkan secara langsung di saluran YouTube Parlimen Malaysia dan rakan-rakan media dijemput untuk hadir bagi membuat liputan sidang media selepas ucaptama dan untuk menyorot perbincangan sepanjang lima sesi dalam sidang dua hari ni bagi membahaskan masa depan demokrasi di Malaysia.
Kenyataan dikeluarkan secara bersama oleh:
Pejabat Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)
The Kofi Annan Foundation
Global Bersih