Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) merujuk kepada lantikan terbaru Pengerusi lima Badan Berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan. Mereka adalah Faiz Fadzil, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM); Datuk Mahfuz Omar (Lembaga Pertubuhan Peladang – LPP); Aminuddin Zulkipli (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan – FAMA); Dr Azman Ismail (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia – MARDI); dan Sheikh Umar Bagharid Ali (Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia – LPNM)
Berkenaan lantikan politik di dalam lembaga berkanun, kami mempunyai pendirian yang sedikit berbeza berbanding pelantikan di dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Lembaga berkanun ditubuhkan oleh kerajaan untuk melaksanakan perkhidmatan khusus yang tidak berdasarkan keuntungan semata-mata dan untuk memenuhi dasar kerajaan.
Pendirian kami bahawa wakil rakyat tidak boleh dilantik ke dalam GLC kerana mereka dilantik untuk menjadi penggubal undang-undang dan berkhidmat di kawasan mereka.
Memandangkan mustahak untuk memastikan Lembaga berkanun menjalankan dasar kerajaan, adalah munasabah setiap kerajaan melantik mereka yang diyakini dan selari dengan hala tuju dasar kerajaan, ini termasuklah ahli politik namun ahli politik tersebut perlu mempunyai kelayakan dan kompetensi yang bersesuaian dengan Badan Berkanun itu. Disebabkan potensi pertembungan kepentingan, pelantikan wakil rakyat perlu diminimumkan. Selain itu, mereka yang dilantik ke Badan Berkanun tertakluk kepada pemantauan dan semakan oleh Jawatankuasa Parlimen sebagaimana menteri dan timbalan menteri dipantau oleh ahli parlimen yang lain. Maka, Jawatankuasa Parlimen yang memantau kementerian di mana badan berkanun tertakluk di bawahnya perlu diketuai oleh Ahli Parlimen Pembangkang.
Ianya merupakan salah guna perjawatan awam dan amanah, malah hampir kepada korupsi, sekiranya kerajaan hanya melantik mana-mana penggerak parti seperti bekas menteri pemimpin tertinggi ke Badan Berkanun hanya untuk mendanai kerja politik mereka.
Kami maklum bahawa parti perlu membiayai penggerak parti sepenuh masa namun gaji mereka perlu dibiayai oleh parti atau entiti yang berkaitan mereka, dan bukannya dengan wang rakyat. Malah, parti politik sepatutnya layak mendapat subsidi tahunan daripada pembayar cukai berdasarkan jumlah undi mereka dalam pilihan raya di persekutuan dan negeri.
Kerajaan Madani justeru perlu tamatkan amalan lapuk membiayai operasi parti kerajaan dan memberi ganjaran kepada pimpinan parti melalui jawatan lumayan di GLC dan Badan Berkanun. Kerajaan seharusnya membentuk sistem pendanaan awam parti politik yang demokratik, adil dan berakauntabiliti berdasarkan keperluan parti kerajaan dan juga pembangkang.
Sementara itu, kejayaan dan kegagalan lembaga berkanun adalah tanggungjawab kepada yang dilantik dan kerajaan yang melantik mereka. Mereka perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan dan juga sebarang salah guna kuasa atau korupsi. Pemantauan dan semakan terhadap lembaga berkanun ini perlu dijalankan melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang rentas parti bagi memastikan objektif lembaga tersebut dipenuhi.
Justeru, mereka yang baharu dilantik oleh Kementerian Pertanian ke dalam Lembaga berkanun di bawah kementerian perlu melaksanakan tugas-tugas mereka kepada rakyat dan bertanggungjawan kepada jawatankuasa pemantau.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH