Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjanjikan proses yang telus, terbuka dan berakauntabiliti bagi pencalonan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang mungkin boleh dibantu oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.
Walaupun secara perlembagaannya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Pengerusi SPR dan ahli-ahlinya adalah dipilih oleh Perdana Menteri yang mencalonkan mereka. Terdapat kekosongan ahli daripada Sabah pada November tahun lepas dan satu lagi kekosongan pada Disember tahun lepas.
BERSIH ingin menyorot bahawa selaku penjaga proses pilihan raya, SPR adalah badan berperlembagaan yang terpenting tetapi untuk masa-masa selepas tahun 1967, mereka tidak menunjukkan tahap kebebasan, keadilan dan integriti yang diharapkan.
Satu isu fundamental adalah isu pelantikan pesuruhjaya daripada penjawat awam kanan yang telah pencen – dan semuanya lelaki sehingga 2018 – yang lebih terbiasa untuk menerima arahan daripada ahli politik berbanding berdiri dengan tuntutan sendiri. Sehingga 2018, SPR telah mempunyai ahli denga kelayakan berkaitan pilihan raya yang dilantik daripada ahli akademik dan anggota masyarakat sivil.
PM Anwar Ibrahim perlu mengambil peluang ini untuk menunjukkan iltizam beliau bagi memperkukuhkan keupayaan dan kredibiliti SPR dengan melibatkan JPKP dalam pelantikan Ahli daripada Sabah. JPKP dijangka akan memilih pengerusi mereka dan memulakan tugas dalam mesyuarat Parlimen kali ini (22 Mei – 15 Jun).
Terdapat tiga manfaat besar yang akan diperolehi: i) meningkatkan ketelusan dalam proses pelantikan jawatan penting; ii) keyakinan dan keabsahan yang lebih jitu terhadap SPR; iii) peranan yang lebih bermakna oleh Parlimen bagi memeriksa pelantikan jawatan penting, sebagaimana amalan demokrasi yang lebih matang di mana Dewan Perundangan boleh memeriksa, meneliti dan mengundi bagi jawatan-jawatan penting.
BERSIH mengucapkan tahniah kepada JPKP atas penubuhannya dan mengharapkan peranan yang lebih telus dalam proses pelantikan dengan membawa pemantauan Parlimen mengenai perkara tersebut.
BERSIH telah menjalankan kajian terhadap penambahbaikan SPR dan sentiasa bersedia untuk bertemu dengan PM, JPKP dan SPR untuk bagaimana menjadikan proses pelantikan yang lebih telus, terbuka dan berakauntabiliti dibuat bagi membina kepercayaan takyat terhadap SPR dan proses pilihan raya.
BERSIH juga mengalu-alukan pelantikan Dato’ Dr. Lee Bee Phang sebagai ahli SPR, selepas tugas yang cemerlang di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mendapat ijazah doktor falsafah daripada Universiti Malaya dalam bidang ‘Jenayah Juvana’ pada tahun 2010. Beliau telah dilantik bagi mengisi kekosongan pada Disember tahun lalu.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH