Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk segera membuka permohonan untuk menjadi pengundi pos bagi negeri-negeri yang akan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) kelak iaitu Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.
SPR tidak semestinya perlu menunggu sehingga semua negeri-negeri tersebut membubarkan DUN masing-masing sebelum membuka permohonan kepada pengundi pos terutamanya pengundi kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara seperti pelajar dan mereka yang bekerja serta menetap di luar negara untuk memohon menjadi pengundi pos dalam PRN nanti. Mengambil iktibar daripada pilihan raya lalu, jumlah pengundi pos kategori 1B meningkat daripada 7,979 pada PRU14 ke 48,109 pada PRU15, peningkatan sebanyak 600%.
Pembukaan permohonan undi pos lebih awal akan memberikan lebih banyak masa kepada pengundi, justeru lebih ramai yang layak akan dapat memohon sebagai pengundi dalam PRN nanti. SPR perlu sentiasa ingat bahawa adalah menjadi tanggungjawab perlembagaan untuk mereka memastikan bahawa setiap rakyat yang layak mengundi diberikan akses pengundian yang mencukupi bagi pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara dalam pilihan raya.
Selain daripada membuka permohonan undi pos lebih awal, BERSIH juga mencadangkan supaya pengundi pos kategori 1C iaitu agensi atau organisasi yang dibenarkan SPR diperluaskan juga kepada para petugas kesihatan dan keselamatan yang bekerja di sektor swasta seperti hospital swasta yang bertugas pada hari pengundian.
Kejadian seperti petugas pilihan raya seperti kerani pengundian dan ketua tempat mengundi tidak menjadi pengundi pos juga tidak seharusnya berulang kembali. Pada PRU15, pasukan Pemantau BERSIH telah menerima banyak aduan kerani dan ketua tempat mengundi tidak didaftarkan menjadi pengundi pos walaupun mereka telah memohon dan akhirnya mereka dinafikan hak untuk mengundi dalam pilihan raya(1) kerana terpaksa bertugas.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH