Kerajaan-Kerajaan Negeri Harus Maklumkan Kepada SPR Secara Rasmi Tarikh Pembubaran Awal DUN Agar Tarikh Mengundi Boleh Diumumkan Segera

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menegaskan bahawa ketidaktentuan tarikh pilihan raya adalah sesuatu yang membebankan dan merunsingkan orang ramai serta perniagaan yang sedang menanti-nanti pengumuman hari mengundi untuk pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri tahun ini.

Walaupun BERSIH mengambil maklum bahawa ada beberapa Menteri Besar/Ketua Menteri yang telah pun menghadap Sultan/Yang di-Pertua negeri untuk mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, namun sehingga kini masih ada yang tidak mempunyai pemakluman rasmi kepada SPR tentang tarikh pembubaran.

BERSIH menyeru agar semua negeri bertindak secara bertanggungjawab dengan memaklumkan secara rasmi kepada SPR tarikh pembubaran yang dirancang, sama ada secara automatik dengan penggenapan penggal atau lebih awal dengan perkenan Istana. Ini membolehkan SPR untuk menentukan tarikh penamaan dan hari pengundian segera kerana SPR tidak perlu menunggu pembubaran berlaku, sebaliknya hanya memerlukan makluman rasmi daripada Kerajaan Negeri.

Pengumuman tarikh pilihan raya yang lebih awal dapat memudahkan perancangan semua pihak yang terlibat seperti petugas dan pegawai pilihan raya, parti-parti politik, pasukan keselamatan serta pelbagai perniagaan, dan paling utama adalah para pengundi agar mereka dapat merancang jadual aktiviti dengan lebih baik untuk mengundi dalam pilihan raya.

Jika menunggu untuk pembubaran berlaku, tarikh pembubaran yang terlewat mengikut laporan media sekarang mencecah 30 Jun (Negeri Sembilan), 9 hari disia-siakan untuk SPR menunggu.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH