Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengingatkan semua kerajaan-kerajaan negeri di Kelantan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Terengganu bahawa mereka hanyalah kerajaan sementara selepas pembubaran DUN.
Disebabkan fungsi kerajaan sementara adalah untuk memastikan operasi asas kerajaan berjalan sehingga kerajaan baharu dibentu, kerajaan sementara ini perlu berhenti daripada membuat keputusan penting atau mengumumkan sebarang projek-projek baharu.
Sebarang keputusan atau pengumuman baharu secara demokratiknya adalah salah serta meragukan dari sudut undang-undang kerana mereka tidak mempunyai kuasa selain penjaga sementara. Pejabat setiausaha kerajaan-kerajaan negeri perlu mengeluarkan satu garis panduan kerajaan sementara sebagaimana yang telah dilakukan di peringkat persekutuan. Garis panduan tersebut antara lain menyatakan:
“Kerajaan Caretaker tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan dasar yang boleh mengikat, atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh memberi implikasi kewangan dan membebankan Kerajaan baharu yang bakal dibentuk, melainkan tindakan tersebut perlu dilaksanakan demi kepentingan awam (public interest).”
Apa-apa projek kerajaan-kerajaan negeri yang bakal/telah terbubar ini mahukan hanya boleh dijanjikan di dalam manifesto mereka dan tidak boleh diumumkan sebagai satu ketetapan.
BERSIH menggesa rakyat Malaysia untuk memantau dan mendesak semua kerajaan negeri yang bakal terbubar menghormati asas demokrasi. Sekiranya salah laku dibenarkan kerana bias politik, maka semua parti akan berlumba-lumba ke arah keburukan dengan membentur undang-undang untuk memenangi pilihan raya dengan mengorbankan kepentingan awam.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH