KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mempersoalkan mengapa Datuk Ahmad Amzad Hashim yang dibatalkan kemenangannya di kerusi Parlimen Kuala Terengganu tidak didakwa atas kesalahan rasuah.
Pengerusi BERSIH, Thomas Fann, berkata ini kerana keputusan dibuat Mahkamah Pilihan Raya Terengganu susulan petisyen difailkan terhadap kerusi itu mengesahkan terdapatnya unsur rasuah.
“…Kuala Terengganu, anda tahu bahawa calon didapati salah kerana rasuah (oleh mahkamah pilihan raya sehingga kemenangannya dibatalkan).
“Namun, calon itu tidak didakwa kerana melakukan kesalahan berkaitan pilihan raya, yang mana jika dia mahu bertanding semula di kerusi itu, dia masih boleh berbuat demikian.
“Jadi di manakah keadilannya? Saya rasa dia sepatutnya didakwa kerana ia (kesalahannya) terbukti (bahawa calon itu melakukan kesalahan rasuah),” katanya pada satu majlis di sini hari ini.
Fann berkata demikian ketika mengulas keputusan PAS untuk tidak mencabar keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangannya bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad yang mewakili PAS ketika itu.
Keputusan dibuat Hakim Mohd Firuz selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.
Beliau berkata, walaupun pempetisyen tidak dikemukakan sebagai saksi, bukti-bukti lain mencukupi untuk mengisytiharkan kerusi bagi Parlimen Kuala Terengganu terbatal dan tidak sah mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar kos RM50,000 kepada pihak pempestiyen.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan keputusan selama 14 hari bagi membolehkan responden membuat rayuan dan memfailkan permohonan rasmi pergantungan responden sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu.
Pada 3 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilapor berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November lalu, iaitu beberapa hari sebelum PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.
Pada PRU15, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas memperoleh 63,016 undi, sekali gus menewaskan Mohd Zubir (22,109 undi), calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi) dan calon PH, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (10,946 undi).
Ditanya mengapa PAS memutuskan tidak mencabar keputusan mahkamah itu, Fann mendakwa ia mungkin disebabkan bukti jelas terhadap mereka atau kerana parti itu yakin mampu memenangi semula kerusi itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kelak.
“Oleh itu, mereka tidak akan membuang masa merayu keputusan itu,” katanya.
(Pertama kali disiarkan oleh Berita Harian pada 8 Julai 2023: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1124103/bersih-persoal-mengapa-ahmad-amzad-tak-didakwa-kerana-rasuah)