BERSIH Perlukan RM60,000 Program PRN, Pemantauan Pilihan Raya dan Kempen Keluar Undi

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) memohon kepada orang ramai untuk membantu BERSIH dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri yang akan bermula pada 29 Julai dan hari pengundian pada 12 Ogos 2023. Dengan hampir 10 juta pengundi akan mengundi dalam PRN di enam buah negeri ini, BERSIH sekali lagi akan menggerakkan rakyat untuk memantau pilihan raya termasuklah aktiviti-aktiviti berikut:

  1. BERSIH akan mobilisasi 89 orang Pemantau Pilihan Raya untuk memantau kesalahan pilihan raya dan ucapan kebencian di 61 buah kerusi DUN.
  2. Membantu melawan salah maklumat (misinformation) dengan mengemaskini laman web PEMANTAU yang didedikasikan bagi aduan kesalahan pilihan raya dan isu-isu yang berkaitan pilihan raya di pemantau.org
  3. Pendidikan pengundi melalui pembentukan pusat panggilan PRN untuk pertanyaan berkenaan pilihan raya seperti isu daftar pemilih, undi pos, pusat pengundian dan lain-lain isu.
  4. Pelancaran kempen untuk meningkatkan jumlah keluar mengundi (#VoteLokal) dan menggalakkan pengundi luar untuk pulang mengundi di DUN masing-masing. Peratusan keluar mengundi yang tinggi adalah penting untuk demokrasi serta menambah keabsahan kerajaan baharu yang dibentuk.

Kami menganggarkan kos menggerakkan semua program dan kempen ini mencecah RM60,000, dan kami perlukan bantuan anda. Walaupun Pemantau kami bergerak secara sukarela dan tidak mengharapkan sebarang bayaran, namun kami tetap akan menanggung kos makan minum dan kos perjalanan.

Justeru dalam pilihan raya kali ini, kami sekali lagi memohon dokongan daripada orang ramai untuk memberi sumbangan seberapa pun untuk kami memantau PRN dan menggerakkan rakyat keluar mengundi. Setiap ringgit yang anda sumbangkan adalah amanah dan kami akan menghasilkan laporan pilihan raya selepas tamatnya PRN. Sumbangkan kepada BERSIH, pastikan pilihan raya bersih dan adil untuk Malaysia. Kami dahulukan ucapan terima kasih di atas sokongan anda dan sila kongsikan kepada rakan serta keluarga anda.

 

Maklumat akaun

Bank: Maybank PJ Old Town
Nama: Bersih & Adil Network Sdn Bhd
No. akaun: 512295102931
Rujukan: 6PRN

 

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH