Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Kerajaan Perpaduan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan pembangkang rasmi, Perikatan Nasional (PN) untuk menandatangani perjanjian damai antara parti untuk memastikan kestabilan politik sebaik sahaja tamat pilihan raya di enam negeri (6PRN) pada 12 Ogos ini tamat, walau apapun keputusan pilihan raya nanti.
BERSIH berpandangan tiba masanya untuk satu lagi perjanjian antara parti seperti Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU) yang ditandatangan oleh Kerajaan Ismail Sabri dan Pakatan Harapan pada September 2021, yang memboleh kestabilan politik selama 13 bulan. MOU tersebut telah berjaya meluluskan undang-undang antilompat parti dan beberapa reformasi parlimen.
BERSIH menggesa Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pembangkang Dato’ Seri Hamzah Zainudin untuk menyatakan komitmen mereka bagi merundingkan perjanjian damai pasca PRN. Hal ini untuk memastikan pengundi, bukan sahaja di enam negeri tersebut malah rakyat yang lainnya, pelabur domestik dan asing, bahawa Malaysia akan memberi fokus kepada pemulihan semula ekonomi dengan menafikan desas-desus perubahan kerajaan di pertengahan penggal yang menyebabkan keraguan terhadap kestabilan politik dan keyakinan pasaran.
Bagi membina asas dan kepercayaan, Kerajaan Perpaduan dan Pembangkang perlu mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat daripada kepimpinan Parlimen, iaitu Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyelia pelaksanaan reformasi penting seperti undang-undang antilompat di bawah MOU, dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Parlimen boleh dan perlu memainkan peranan utama bagi perdamaian politik yang mampan sehingga 2027 yang memerlukan pemerkasaan Ahli Parlimen Pembangkang dan Backbencher Kerajaan sebagai pertukaran dengan janji Pembangkang untuk tidak berkomplot menjatuhkan kerajaan.
Hormati terhadap keputusan pilihan raya dan pembentukan kerajaan perlu selari dengan padang permainan politik yang rata yang memberikan ruang kepada Pembangkang untuk bersaing secara konstruktif dan profesional. Hanya ketika itu Kerajaan dan Pembangkang dapat bersaing isu dasar dan tatakelola, dan bukannya terus bermain politik identiti seperti bangsa, agama dan raja-raja (3R).
BERSIH gembira melihat penyatuan empat pimpinan politik, termasuk Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi YB Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-UMNO), Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke (PH-DAP) dan Menteri Pendidikan dan Pengajian Tinggi Bayangan Datuk Seri Saifuddin Abdullan (PN-Bersatu) berkenaan perjanjian damai dan beberapa reformasi institusi dalam forum “Kestabilan Politik semasa Parlimen Tergantung” pada 11 Julai 2023 di Universiti Sunway, yang disiarkan oleh Astro Awani pada 13 Julai 2023 malam.
BERSIH mengusulkan perjanjian damai tersebut untuk memasukkan 10 penjajaran politik dan reformasi institusi:
(1) Akta Penggal Tetap Parlimen (FTPA) supaya Parlimen ke-15 sehingga 18 Disember 2027 dan SPR membuat pra-umum tarikh pilihan raya yang tetap. Permohonan pembubaran awal hanya boleh dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Perdana Menteri dalam dua keadaan: (a) kerajaan hilang majoriti; (b) usul pembubaran diluluskan oleh majoriti dua pertiga Dewan Rakyat. Tanpa menjejaskan kuasa YDPA untuk menahan keizinan pembubaran awal, hal ini akan memberikan lebih kestabilan dan kebolehramalan politik untuk membina keyakinan rakyat dan pasaran.
(2) Pengkanunan peruntukan dan proses untuk mekanisme kepercayaan Parlimen termasuklah Undi Percaya Pengabsahan (Confirmatory Vote of Confidence) selepas pelantikan PM baharu dan Undi Tidak Percaya Konstruktif (Constructive Vote of No-Confidence) untuk membuang PM. Mekanisme kepercayaan ini akan meningkatkan keyakinan dan memastikan kestabilan bagi kerajaan majoriti atau minoriti serta memelihara peranan perlembagaan ketua negeri.
(3) Pindaan Peraturan Mesyuarat untuk kedua-dua Dewan bagi memperkasa ahli parlimen persendirian (Private Members) dan memastikan keberkesanan pengawasan parlimen dengan penubuhan Jawatankuasa Tetap dan Khas Parlimen serta memperuntukkan Masa Urusan Bukan Kerajaan apabila Parlimen bersidang.
(4) Pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memastikan Parlimen lebih mandiri. Parlimen perlu mempunyai belanjawan sendiri untuk mendana staf sendiri, jabatan penyelidikan, jawatankuasa pilihan, dan malah pusat khidmat untuk ahli-ahlinya. Ini adalah antara reformasi yang belum terlunas semasa MOU Ismail Sabri.
(5) Pengiktirafan Kabinet Bayangan Pembangkang dengan peruntukan yang mencukupi untuk membayangi Menteri dengan akses maklumat yang berpatutan supaya mereka dapat berfungsi dengan berkesan sebagai pembangkang yang konstruktif dan kerajaan menunggu.
(6) Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) untuk memastikan layanan yang sama rata kepada Ahli Parlimen tanpa mengira parti. Undang-undang yang sama perlu diperkenalkan di 13 negeri yang lain.
(7) Akta Pembiayaan Politik dengan pendanaan politik untuk parti politik untuk mencegah politik wang dan korupsi, dan untuk memenuhi keperluan parti mendanai aktiviti dan kos pengoperasian mereka.
(8) Pemerkasaan Dewan Negara sebagai penjaga hak-hak negeri bersama wakil rakyat yang dipilih dan satu pertiga kuasa veto untuk Sarawak, Sabah dan Labuan.
(9) Reformasi Jabatan Peguam Negara (AGC) dan SPRM untuk menghapuskan kawalan politik oleh Perdana Menteri. Pejabat Pendakwaraya yang bebas perlu ditubuhkan berasingan daripada Peguam Negara yang fungsi utamanya sepatutnya menjadi penasihat undang-undang kerajaan.
(10) Reformasi SPR agar menjadi bebas, adil, diperkasakan dan dipertanggungjawabkan ke Parlimen bagi memastikan pilihan raya bebas dan adil.
BERSIH berharap agar kedua-dua Kerajaan Perpaduan dan PN mengalu-alukan seruan positif ini bagi menangani kelesuan dan apati politik yang mencengkam ramai pengundi serta boleh menyebabkan jumlah keluar mengundi yang renda dalam PRN nanti.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH